KUALA LUMPUR – Dalam setiap sejarah kerjasama Pas atas agenda penyatuan, Pas yakin ianya bukan satu kerugian.
Ketua Pemuda Pas Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, undi Melayu Islam semakin bertambah. Kerusi Melayu Islam semakin bertambah. Negeri yang ditadbir oleh Melayu Islam semakin bertambah. Penyatuan ummah semakin berjaya, walaupun namanya berbeza-beza.
“Kali ini sekali lagi, agenda penyatuan ummah itu dihalang. Maka Pas terpaksa buat keputusan seperti yang telah sedia maklum. Henti kerjasama, dan teroka jalan kerjasama yang baru.
“Kepentingan kelompok tertentu atau kepentingan ummah. Itulah yang menjadi asas keputusan Pas menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu. Jika Pas terus bersama Bersatu, ia adalah kepentingan kelompok tertentu, bukan kepentingan ummah.
“Seperti yang diketahui umum, Bersatu tidak menerima kemasukan parti-parti lain ke dalam PN. Sedangkan bagi Pas, menerima kemasukan parti lain ke dalam PN dapat memenuhi jalan untuk penyatuan ummah. Jalan inilah yang dihalang oleh Bersatu. Terlihat jelas, kepentingan kelompok lebih mereka utamakan berbanding kepentingan ummah.
“Sikap dan gelagat Bersatu dalam banyak kemelut politik sebelum ini memperlihatkan mereka lebih utamakan kepentingan kelompok tertentu. Pas berfikir panjang, bemesyuarat banyak kali. Jika jalan untuk penyatuan ini dihalang, Pas tiada pilihan lain. Pilihan yang ada ialah menghentikan kerjasama dengan pihak yang menghalang jalan penyatuan.
“Oleh kerana jalan yang sedia ada tidak mampu sampai kepada matlamat penyatuan, maka Pas perlu meneroka jalan yang lain. Namun, tempat tujunya sama, penyatuan ummah. Penyatuanlah asas kekuatan untuk melawan dan menentang segala kerosakan yang sedang dan telah dibuat oleh PH sejak mereka berkuasa selama ini,” jelasnya.
Menurut Ahli Parlimen Alor Setar itu lagi, benar, jalan yang Pas pilih ini lebih mencabar.
Katanya, mengekalkan jalan sedia ada dengan Bersatu, itu lebih mudah. Tak perlu banyak kerja. Kerusi dah ada. Platform dah ada. Jenama dah ada. Bisnes seperti biasa untuk PRU seterusnya. Jentera pakai Pas punya. Ini lebih mudah. Tapi, ianya menghalang agenda utama, penyatuan ummah.
“Di sinilah beza cara Pas berpolitik dengan cara parti lain berpolitik. Parti lain berpolitik hanya untuk kepentingan kelompoknya semata. Berapa kerusi dia dapat, apa jawatan ditawarkan. Semuanya berkisar kepada apa habuan diri masing-masing dan apa nak buat untuk terus kekal dapat habuan. Setakat itu sahaja.
“Pas berpolitik melihat kepada untung rugi Islam dan Melayu. Jika untung Islam, manfaat pada Melayu (sebagai kaum majoriti), maka Pas akan pergi ke situ, walaupun jalan itu mungkin lebih jauh penuh berduri. Jalan itu lebih baik berbanding jalan yang singkat tapi akhirnya terjun jatuh dalam gaung yang dalam,” ujarnya.
Afnan menambah lagi, sikap yang sama Pas ambil ketika Pas bersama DAP dalam Pakatan Rakyat sebelum ini.
“DAP menghalang jalan melaksanakan syariat di Kelantan dan Terengganu. Maka, dengan tegas Pas buat keputusan batalkan kerjasama dengan DAP.
“Penyatuan ummah pernah berjaya ketika Pas bersama Umno di dalam MN. Walaupun MN hanya sekerat jalan, namun jalan penyatuan itu diteruskan oleh Pas di dalam PN.
“PN adalah jalan lain, namun agendanya sama, penyatuan ummah. Natijahnya, undi orang Melayu Islam banyak beralih kepada PN di dalam PRU yang lalu. PN dilihat dan dipercayai membawa agenda penyatuan ummah. Ramai ahli parti lain beri undi kepada PN. Pengundi atas pagar juga beri undi kepada PN. Mereka percaya dan letak harapan tinggi untuk penyatuan ummah,” kata beliau.



