CYBERJAYA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Bintulu, Datuk Talib Zulpilip meninggal dunia pada usia 72 tahun, hari ini.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Pusat Rawatan Pakar Normah, Kuching pada jam 5.50 petang tadi, akibat komplikasi buah pinggang.
Terdahulu, Allahyarham dimasukkan ke hospital berkenaan semalam, sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada petang tadi.
Portal Hmetro yang memetik sumber Pejabat Premier Sarawak turut mengesahkan kematian bekas Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sarawak (Integriti dan Ombudsman) itu.
Bagaimanapun, kerajaan Sarawak setakat ini belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu.
Untuk rekod, Talib, menjadi ADUN Jepak selama enam penggal. Beliau meninggal dunia dua hari selepas sambutan hari ulang tahun kelahirannya yang ke-72 iaitu pada 13 September.
Jenazah Allahyarham Talib akan diuruskan di Kompleks Pusara Islam Semariang sebelum dikebumikan malam ini.