SERI MENANTI, – Program AI@NADI Peringkat Negeri Sembilan yang dirasmikan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Seri Menanti hari ini menjadi langkah penting dalam memperluaskan akses pembelajaran kecerdasan buatan (AI) kepada masyarakat setempat. Program itu dilaksanakan serentak di 62 NADI di seluruh negeri.
Program anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu merupakan sebahagian daripada teras Pembelajaran Sepanjang Hayat di bawah Program Perkhidmatan Pintar NADI yang memberi fokus kepada pembangunan kemahiran digital komuniti menerusi latihan berasaskan keperluan semasa.
Melalui kelas yang ditawarkan, peserta dibimbing secara praktikal untuk memanfaatkan aplikasi AI dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, pekerjaan, keusahawanan, tugasan harian dan pembangunan komuniti. Program tersebut turut menekankan aspek penggunaan teknologi secara selamat, beretika dan bertanggungjawab.
AI@NADI ditawarkan secara percuma dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat termasuk pelajar, belia, usahawan serta komuniti setempat, selaras dengan peranan NADI sebagai platform pembelajaran digital yang inklusif dan mudah diakses.
Menurut MCMC, pelaksanaan program itu juga menyokong aspirasi Menteri Komunikasi untuk melahirkan sekurang-kurangnya seorang Prompt Engineer di setiap NADI bagi memperkukuh penguasaan teknologi AI di peringkat komuniti. Inisiatif tersebut dijangka membuka peluang kepada rakyat, khususnya golongan muda, untuk menguasai kemahiran baharu yang relevan dengan keperluan masa depan, selain berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan dan menjana nilai ekonomi setempat.
Prompt Engineer yang dilahirkan menerusi program itu juga akan berperanan sebagai pemudah cara dan pakar rujuk komuniti dalam membantu masyarakat memahami, meneroka serta memanfaatkan teknologi AI secara lebih berkesan dan produktif.
Pelaksanaan AI@NADI sekali gus memperkukuh peranan NADI sebagai hab komuniti digital yang bukan sahaja menyediakan akses internet secara inklusif, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan kemahiran digital, peningkatan penyertaan masyarakat dalam ekonomi digital dan pemerkasaan sosioekonomi rakyat.



