Malaysia tegas lindungi spesies ikan yu dan pari – KP Perikanan

Oleh Zihan Zari

PUTRAJAYA – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) mengambil maklum dan menyambut baik laporan terkini Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia dan TRAFFIC Asia Tenggara yang menilai skala perdagangan produk yu dan pari dalam talian di Malaysia.

Ketua Pengarahnya, Dato’ Hj. Adnan Hussain berkata penemuan ini memberi gambaran penting mengenai corak perdagangan semasa, seterusnya membantu memperkukuh usaha pemuliharaan dan kawal selia terhadap kumpulan spesies marin yang semakin berisiko tinggi.

“DOF memandang serius dapatan tersebut dan menghargai kerjasama berterusan dengan WWF dan TRAFFIC dalam meningkatkan ketelusan maklumat, kesedaran awam serta kefahaman mengenai keperluan melindungi spesies yang terdedah kepada ancaman eksploitasi.

“DOF kini sedang meneliti semula pendekatan pengurusan termasuk pengukuhan operasi pemantauan, semakan dasar serta pemantapan mekanisme penguatkuasaan di peringkat lapangan bagi memastikan tindakan lebih berkesan, ” katanya dalam kenyataan.

“Malaysia sebagai negara pihak kepada Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora (CITES) melaksanakan tanggungjawab mengawal perdagangan antarabangsa bagi spesies terancam, termasuk yu dan pari.

“DOF memastikan pematuhan permit CITES, pemeriksaan identiti spesies dan kolaborasi rapat dengan agensi penguatkuasaan di pintu masuk negara, bersandarkan data saintifik serta standard antarabangsa, ”katanya lagi.

“Tanggungjawab ini diperkukuh melalui semakan berkala dan peningkatan kapasiti penguatkuasaan.

“Dari sudut perundangan domestik, beberapa spesies yu dan pari dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Yang Terancam) 1999, yang menetapkan kawal selia berkaitan pengambilan, pendaratan, pemilikan, penjualan dan perdagangan spesies terancam.

“Antara spesies yang dilindungi termasuk Great Hammerhead (Sphyrna mokarran), Scalloped Hammerhead (Sphyrna lewini), Smooth Hammerhead (Sphyrna zygaena) dan Oceanic Whitetip Shark (Carcharhinus longimanus).

“Selain itu, pari manta seperti Giant Manta Ray (Mobula birostris) dan Reef Manta Ray (Mobula alfredi) merupakan pemangsa puncak yang memainkan peranan penting dalam keseimbangan ekosistem marin,”ujarnya.

“DOF komited memastikan perdagangan dan pendaratan spesies terancam dikawal secara ketat, berintegriti dan selaras dengan piawaian antarabangsa serta perundangan negara.

“Kami menghargai usaha WWF dan TRAFFIC dalam menyediakan maklumat yang membantu memperkukuh tindakan pengurusan sumber marin negara,”ujarnya lagi.

Tambahnya, DOF akan terus memperkukuh tindakan bersepadu melalui penambahbaikan sistem pemantauan, peningkatan kapasiti agensi berkaitan, pengukuhan pendidikan awam serta penyediaan data saintifik yang komprehensif.

“Langkah-langkah ini mencerminkan komitmen jabatan untuk memastikan sumber perikanan negara kekal lestari, terurus dan terpelihara demi kesejahteraan generasi akan datang, ”tambahnya lagi. -SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat