KUALA LUMPUR – Penasihat Politik kepada Presiden Bersatu, Datuk Dr. Marzuki Mohamad mempertikaikan dakwaan Presiden PAS bahawa Bersatu menolak agenda penyatuan ummah sehingga menjadi antara punca PAS memutuskan hubungan dengan parti itu.
Menurut Marzuki, dakwaan tersebut hanya menceritakan sebahagian daripada kisah sebenar berkaitan permohonan beberapa parti Melayu-Islam untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, individu pertama yang membawa parti-parti seperti BERJASA, PEJUANG, PUTRA dan IMAN ke dalam rangkaian PN ialah Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri.
Katanya, parti-parti itu dirangkumkan dalam gabungan strategik parti-parti pembangkang pro-PN iaitu Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) ketika Muhyiddin menjadi Pengerusi PN.
“Pada peringkat awalnya PAS mengambil sikap dingin terhadap IPR. Mesyuarat pertama IPR tidak dihadiri oleh wakil PAS.
“Beberapa mesyuarat selepas itu wakil PAS hadir. Tetapi komitmen PAS terhadap IPR agak hambar.
“Pada ketika itu, Bersatu tak kata PAS menolak penyatuan ummah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Marzuki berkata, apabila parti-parti Melayu-Islam dalam IPR kemudian memohon untuk menyertai PN, permohonan itu dibincangkan beberapa kali dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN.
Menurut beliau, keputusan setiap kali perkara itu dibincangkan ialah PN perlu mengadakan kerjasama pilihan raya atau electoral pact terlebih dahulu dengan parti-parti berkenaan, bukannya terus menerima mereka sebagai anggota PN.
“Keputusan ini dibuat secara kolektif oleh ahli-ahli MT PN termasuk wakil PAS.
“Ada minit mesyuarat yang boleh dirujuk,” katanya.
Justeru, Marzuki berkata tidak timbul ketika itu dakwaan bahawa Bersatu atau PAS menolak penyatuan ummah.
Katanya, electoral pact juga merupakan satu bentuk kerjasama politik yang membawa kepada penyatuan dari segi gerak kerja untuk memenangi pilihan raya.
Namun, beliau mempersoalkan tindakan Presiden PAS yang kini menuduh Bersatu menolak penyatuan ummah hanya kerana dalam mesyuarat terakhir MT PN, Bersatu mempertahankan keputusan terdahulu yang dibuat secara kolektif.
“Kalau dahulu tak dikatakan menolak penyatuan ummah, kenapa sekarang dituduh sedemikian rupa?
“Adilkah?” soalnya.



