Pak Hamid disenangi ramai

- Advertisement -

Kuala Lumpur: Barangkali tidak ramai generasi baharu menyedari, disebalik sisi kelakar menghiburkan kita menerusi filem lakonannya, Allahyarham Hamid Gurkha atau Abdul Hamid Abdul Rahman adalah seorang anggota tentera.

Allahyarham menyertai pasukan tentera selama tujuh tahun iaitu pada  1950-1957 dan mempunyai semangat patriotik yang tinggi biarpun sudah meninggalkan kerjaya terbabit.

Menurut Wikipedia, dikatakan semasa Peristiwa Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 yang menyaksikan Balai Polis Bukit Kepong diserang oleh 180 penganas komunis, hati beliau melonjak untuk menghulurkan bantuan, tetapi segala perhubungan sudah dipotong oleh komunis membuatkan usaha ini menemui kegagalan.

Justeru tidak hairanlah Hamid sangat terkilan apabila tercetus isu mengaitkan Mat Indera diangkat sebagai pejuang kemerdekaan.

Allahyarham kemudiannya menyertai Pertandingan Bintang Radio RTM pada 1965 dan merangkul tempat pertama. Bermula dari situ, beliau ditawarkan oleh Kementerian Kebudayaan dan Kesenian untuk mengadakan persembahan pentas.

Sejak itu Hamid bergerak di bawah kementerian terbabit dan tuah menyebelahinya apabila Datuk Jamali Shadat (Allahyarham) mengajak menyertainya sebagai pelawak pentas.

Kerjaya seninya semakin melebar apabila membintangi filem pertama Panglima Badol pada 1978 dan diikuti beberapa filem lain pada era 80-an Sikit Punya Gila (1982), Ragam Pemandu (1986) dan Main-main Hantu (1990).

Allahyarham juga pernah membintangi filem Gila-Gila (1979), Aku Yang Berhormat (1983), Talak (1984), Konstabel Mamat (1992), Impian (1996), Silat Lagenda (1998), Senario The Movie (1999), Kemarau Cinta (2005), Salah Bapak (2006), Zombi Kampung Pisang (2007) dan Alamak Toyol (2011).

Dalam banyak-banyak filem lakonannya, Sikit Punya Gila antara yang diminati dan sering disiarkan di satu rangkaian televisyen terkenal.

Popularitinya merentasi masa apabila kemunculannya menerusi filem Zombi Kampung Pisang pada 2007 berjaya menarik perhatian generasi baharu untuk mendekatinya.

Sikapnya yang sentiasa mesra dengan semua orang tidak kira dimana sahaja membuatkan Allahyarham disenangi ramai.

Kini Hamid sudah meninggalkan kita akibat penyakit tibi dan beberapa komplikasi lain di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, pada jam 2.19 petang selepas enam hari dimasukkan ke hospital.

Hamid mendirikan rumah tangga dengan Timah Abdul Hamid, 80, pada April 1957.

Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan lapan cahaya mata, namun dua daripadanya meninggal dunia. Beliau juga dikurniakan 32 cucu dan 18 cicit.

Industri hiburan tanah air kini kehilangan seorang pelakon yang sangat komited dengan kariernya walaupun sudah dipanjat usia.

Sudah pasti ada dikalangan peminat agak terkilan kenapa pihak tertentu terlepas pandang terhadap insan yang amat berjasa ini.

Sekurang-kurangnya berikan gelaran tertentu buat Allahyarham sebagai penghargaan semasa hayatnya ada.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat