‘Sukar lupa kerana arwah terlalu baik’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isnin lalu, genap tiga tahun suami dramatis veteran, Datin Fadilah Mansor iaitu Allahyarham Datuk A Rahman Hassan, pergi menghadap Ilahi.

Biarpun masa berlalu, tidak sehari pun luput ingatan Fadilah terhadap suaminya. Pernah suatu ketika, akibat terkesan dengan pemergian arwah, Fadilah dimasukkan ke hospital kerana serangan jantung sebulan selepas suaminya dijemput Ilahi.

Bertemu Fadilah, pelakon ini mengaku mengambil masa lebih setahun untuk merawat kedukaan hati. Namun, untuk melupakan terus momen bersama arwah, amat mustahil.

Malah, hingga hari ini, setiap kali bertemu anak, saudara dan rakan arwah atau berkunjung ke tempat yang sering dilawati suami, pasti air mata Fadilah tumpah.

“Lebih setahun baru saya benar-benar kuat. Tetapi sampai sekarang, sehari pun ingatan kepada arwah tidak pernah pudar.

“Saya sentiasa ingat kepadanya, lebih-lebih lagi jika terjumpa artis atau tempat dia pernah menyanyi, makin kuat ingatan saya.

“Pemergian suami memberi kesan besar kepada hidup. Saya mengaku mengelak berjumpa anak suami dan saudara-maranya kerana ia membuatkan saya sedih.

“Walaupun suami sudah tiada, anaknya sering bertanya khabar. Cuma saya yang tidak bersedia untuk bertemu mereka.

“Hanya pada Aidilfitri baru-baru ini saya berjumpa mereka. Itupun selepas dua tahun saya mengelak,” katanya sebak.

 

Fadilah mengambil masa lebih setahun untuk merawat kedukaan hati selepas pemergian arwah suami, Allahyarham Datuk A Rahman Hassan. – Foto IG Fadilah Mansor

 

Fadilah berkata, dia menolak hasrat anak tiri untuk menjenguknya atas alasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bukan saya tidak mahu berjumpa, hubungan kami baik. Anak tiri rajin bertanya khabar. Cuma saya ketika itu belum sedia untuk berjumpa.

“Kalau jumpa, saya pasti teringat arwah bapa mereka. Malah, ketika bertemu pada hari raya lalu, saya sukar menahan air mata walaupun sudah tiga tahun arwah pergi,” katanya kepada BH Online.

Fadilah berkata, Allahyarham A Rahman yang juga vokalis kumpulan Orkes Nirwarna adalah suami yang sangat baik.

Sepanjang perkahwinan, arwah tidak pernah meninggikan suara, sebaliknya menegur dengan lembut.

“Jika ada perbalahan, biasanya saya yang lebih. Namun, suami lebih suka menegur secara lembut.

“Saya pernah beritahu suami, kenapa dia terlalu baik. Itu yang membuatkan saya tidak boleh melupakan dia,” katanya.

Allahyarham A Rahman meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru dan lemah jantung pada usia 73 tahun pada 13 Jun 2019. Pasangan itu berkahwin pada 25 Disember 2014.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat