KUALA LUMPUR – Umno menghargai tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang tidak mahu memanjangkan cadangan untuk menjadikan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Setiausaha Agung Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sebaliknya, mengharapkan isu-isu yang boleh mencetuskan polemik dapat dielakkan pada masa akan datang.
“Terima kasih YB Nga Kor Ming kerana menghormati pendirian Umno dan tidak mahu memanjangkan cadangan untuk menjadikan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
“Banyak keutamaan lain yang perlu Kerajaan Perpaduan tumpukan ketika ini terutamanya dalam isu menangani kos sara hidup rakyat yang kian meningkat di samping meningkatkan kualiti kesejahteraan hidup rakyat dalam segenap aspek.
“Diharapkan apa juga isu yang boleh mencetuskan polemik dapat dielakkan dan perbincangan secara tertutup di kalangan anggota kabinet dan Sekretariat Kerajaan Perpaduan dapat diadakan terlebih dahulu pada masa akan datang,” ujar Asyraf dalam kenyataan pada Rabu.
Tambah beliau lagi, Umno bersedia bersama dan bekerjasama rapat dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi membantu agenda Kementerian di bawah Nga Kor Ming terutamanya yang melibatkan isu kemiskinan bandar, kesempurnaan kemudahan dan infrastruktur rakyat di kawasan perumahan, isu perumahan mampu milik generasi muda dan pelbagai isu lain yang menyentuh kualiti hidup rakyat di kawasan bandar khususnya.
“Isu-isu yang disebutkan ini melangkaui soal kaum dan memerlukan pendekatan bersifat keterangkuman dengan kerjasama semua pihak bagi memastikan semuanya dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.
Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming enggan memanjangkan isu cadangan untuk menjadikan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Beliau berkata, perkara itu dikhuatiri akan menimbulkan lebih banyak polemik dan salah tafsir oleh pelbagai pihak.
Justeru menurutnya, lebih baik isu berkenaan tidak terus dipanjangkan dan fokus kepada agenda lain yang lebih memberi faedah kepada rakyat.