Undang Yang Empat bantah pembubaran DUN Negeri Sembilan, dakwa tiada persetujuan diperoleh

SEREMBAN, 5 Jun – Empat Undang Negeri Sembilan bersama Tunku Besar Tampin mengemukakan bantahan rasmi terhadap pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diumumkan Menteri Besar Negeri Sembilan pada malam 4 Jun lalu.

Melalui surat bantahan yang dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman, pembesar-pembesar pemerintah Negeri Sembilan menegaskan mereka membantah sekeras-kerasnya pembubaran DUN tersebut.

Surat yang ditandatangani firma guaman Deidra Sharina & Co itu menyatakan mereka mewakili Undang Yang Empat Negeri Sembilan dan Tunku Besar Tampin.

Menurut surat berkenaan, sehingga tarikh surat itu dikeluarkan, tiada sebarang persetujuan diperoleh daripada anak guam mereka berhubung pembubaran DUN yang diumumkan Menteri Besar pada kira-kira jam 11 malam, 4 Jun lalu.

“Untuk makluman Tuan Yang di-Pertua, sehingga tarikh surat ini dikeluarkan, tiada sebarang persetujuan yang dimohon daripada anak-anak guam kami berkenaan pembubaran DUN tersebut,” menurut surat berkenaan.

Mereka turut mendakwa tindakan pembubaran itu merupakan pelanggaran nyata terhadap beberapa peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, termasuk Fasal 56(2), Fasal 38(4) dan Fasal 28(1) serta 28(2).

Menurut surat itu lagi, sekiranya pembubaran DUN diteruskan, ia berpotensi menimbulkan pelbagai implikasi undang-undang termasuk persoalan mengenai kesahan keputusan pilihan raya yang bakal diadakan.

“Perkara ini jelas terjumlah kepada satu pelanggaran nyata terhadap peruntukan-peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan.

“Oleh itu, sekiranya pembubaran diteruskan ia akan menimbulkan pelbagai implikasi undang-undang termasuk kesahan keputusan pilihan raya dan sebagainya,” menurut kandungan surat tersebut.

Sehubungan itu, mereka menggesa Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri mengambil tindakan segera bagi mempertahankan kedaulatan undang-undang serta prinsip perlembagaan Negeri Sembilan.

Salinan surat bantahan berkenaan turut dihantar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ketua Setiausaha Negara, Menteri Besar Negeri Sembilan, Peguam Negara, Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Ketua Polis Negeri Sembilan.

Bantahan tersebut hadir ketika Negeri Sembilan berdepan krisis perlembagaan yang semakin meruncing susulan pertikaian mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan kuasa yang diperuntukkan kepada Undang Yang Empat di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat