Mesyuarat Khas DKU Selesai, Polis Terus Halang Keluar Masuk Balai Tunku Besar Tampin

TAMPIN, 5 Jun – Mesyuarat Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) yang berlangsung di Balai Rasmi Tunku Besar Tampin pagi ini selesai selepas bersidang kira-kira sejam.

Bagaimanapun, suasana di sekitar balai masih dikawal ketat apabila pihak polis terus menghalang pergerakan keluar masuk ke kawasan berkenaan sebaik sahaja mesyuarat berakhir.

Petugas media dan orang ramai yang berkumpul di luar balai turut tidak dibenarkan memasuki kawasan tersebut bagi mendapatkan perkembangan lanjut mengenai hasil mesyuarat berkenaan.

Ia dimaklumkan oleh salah seorang peguam dalam sidang media ringkas di sebalik pintu pagar.

Media juga dimaklumkan salah seorang anggota DKU, Undang Sungei Ujong, Datuk Klana Petra Dato’ Mubarak Dohak, tidak menghadiri mesyuarat khas tersebut.

Dipercayai beliau tidak hadir kerana status Undang beliau yang menjadi pertikaian boleh menjejaskan keabsahan keputusan DKU.

Setakat ini, butiran keputusan yang dicapai dalam sidang khas berkenaan masih belum diumumkan kepada umum.

Mesyuarat khas DKU hari ini mendapat perhatian seluruh negara berikutan jangkaan bahawa ia akan membincangkan isu kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan serta beberapa perkara berkaitan krisis perlembagaan yang sedang berlaku di negeri itu.

Terdahulu, semua pembesar adat yang dijemput menghadiri sidang khas tersebut dibenarkan memasuki Balai Rasmi Tunku Besar Tampin selepas berlaku sedikit ketegangan di pintu masuk melibatkan pihak polis.

Turut kelihatan menghadiri sidang berkenaan ialah Tunku Besar Tampin, para Undang, pembesar adat negeri serta beberapa tetamu kenamaan.

Perhatian kini tertumpu kepada pengumuman rasmi yang dijangka dibuat berhubung keputusan yang dicapai dalam Mesyuarat Khas DKU tersebut.-SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat