Negeri PH dilema nak bubar DUN

- Advertisement -

CYBERJAYA: Negeri yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) kini dalam keadaan dilema sama ada untuk mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) atau tidak.

Perkara itu berlaku selepas DAP Pulau Pinang mengambil keputusan untuk berbincang semula sama ada untuk membubarkan DUN atau sebaliknya.

Menurut laporan Malaysiakini yang memetik sumber, ada pemimpin PH yang bimbang akan dipersalahkan kerana menyebabkan penduduk Pulau Pinang terpaksa keluar mengundi dua kali iaitu ketika PRU-15 dan pilihan raya negeri.

Malah, ada juga pemimpin yang bimbang jika pengundi marah kerana PH membuat pusingan U berhubung keputusan berkenaan.

Sementara itu, dalam laporan sama, Pensyarah National University of Singapore, Serina Rahman maklum bahawa PH dalam situasi “bahaya” dengan BN mampu menjadikan isu tersebut sebagai senjata untuk menyerang mereka.

Katanya, PH perlu fokus lakukan yang terbaik untuk rakyat kerana dalam keadaan apa pun, kritikan akan tetap dilontarkan.

“(Presiden Umno) Ahmad Zahid Hamidi sudah pun menyatakan mereka (PH) tidak yakin dan sebab itu tak mahu buat pilihan raya.

“Dan (perdana menteri sementara) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata agar pilihan raya negeri turut diadakan agar rakyat tidak disusahkan dan kos dapat dijimatkan, walaupun kita tak akan hadapi masalah ini jika PRU-15 tidak diadakan pada masa ini.

“Jadi mereka perlu lakukan yang terbaik dalam situasi sukar ini,” katanya.

Serina berkata lagi, apa yang lebih penting berbanding isu pembubaran DUN adalah tawaran PH dalam PRU-15.

Katanya, PH perlu mampu membuktikan kepada pengundi yang mereka dapat membawa negara keluar daripada masalah yang melanda pada masa ini.

Ia dilihat sesuatu yang sukar kerana mereka telah hilang peluang itu apabila pentadbiran PH tumbang pada Februari 2020, kata Serina.

Lima hari sebelum Parlimen dibubarkan, PH membuat keputusan untuk tidak mengadakan pilihan raya peringkat negeri di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor sehinggalah musim tengkujuh berakhir.

PAS juga membuat ketetapan awal untuk tidak membubarkan DUN di tiga negeri yang ditadbirnya, iaitu Kelantan, Kedah dan Terengganu. Bagaimanapun, Naib Presiden PAS Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata perkara itu akan dimuktamadkan hari ini.

Selain itu, Pengarah Eksekutif Ilham Center, Hisommudin Bakar tidak menolak kemungkinan pengundi akan rasa jengkel kerana perlu keluar mengundi dua kali dalam tempoh yang singkat.

Menyokong negeri PH mengadakan pilihan raya peringkat DUN secara serentak dengan PRU-15, dia berkata tidak timbul isu gabungan itu membuat pusingan U, asalkan ia dibuat demi kebaikan pengundi.

“Tak perlu ada dilema untuk PH buat keputusan bubar atau tidak. Ini kerana PH dulu berhujah yang ketika BN bubarkan DUN Melaka dan Johor, PRN yang diadakan membazirkan wang rakyat.

“Selaras dengan hujah ini, PH perlu buat pilihan raya negeri secara serentak dengan seluruh negara untuk jimatkan wang dan masa rakyat,” katanya lagi.

Jika ia tidak dibuat serentak, kata Hisommudin, PH juga berisiko untuk tewas nanti jika BN menang di peringkat persekutuan dan dapat berkempen secara maksimum ketika pilihan raya negeri.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat