Dua puluh tahun bukan sekadar angka bagi Petaling Jaya. Ia merupakan simbol kepada perjalanan sebuah bandar yang berkembang daripada sebuah kawasan perbandaran kepada antara bandar raya paling maju, progresif dan berdaya saing di Malaysia. Bersempena ulang tahun ke-20 pengisytiharan Petaling Jaya sebagai bandar raya pada 20 Jun 2006, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan menganjurkan Festival Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20 yang berlangsung selama enam hari bermula 16 hingga 21 Jun 2026.
Sambutan istimewa ini dianjurkan sebagai tanda penghargaan terhadap perjalanan panjang bandar raya tersebut yang telah melalui pelbagai fasa pembangunan dan transformasi. Festival berkenaan bakal menghimpunkan pelbagai program yang menumpukan kepada pembelajaran sepanjang hayat, pembangunan komuniti, pendigitalan, kebudayaan serta kelestarian alam sekitar dengan penglibatan masyarakat daripada pelbagai lapisan umur dan latar belakang.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Hj. Mohamad Zahri Hj. Samingon berkata, sambutan ulang tahun ini bukan sekadar medan untuk mengimbau sejarah dan pencapaian Petaling Jaya sepanjang dua dekad lalu, malah menjadi platform untuk memperkukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan warga kota serta memperbaharui komitmen ke arah masa depan bandar raya yang lebih pintar, mampan, berdaya tahan dan sejahtera.
Menurut beliau, transformasi yang dinikmati oleh Petaling Jaya hari ini merupakan hasil kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan, komuniti setempat, sektor swasta, institusi pendidikan serta pelbagai pihak berkepentingan yang memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan bandar raya tersebut. Justeru, sambutan ulang tahun ini merupakan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan dan kemajuan Petaling Jaya selama ini.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Prapelancaran Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20 dan Perhimpunan Warga Kerja MBPJ yang berlangsung di Dewan Sivik MBPJ. Dalam masa yang sama, beliau turut menegaskan bahawa MBPJ akan terus memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan, memperkasakan komuniti dan memanfaatkan teknologi serta inovasi bagi memastikan Petaling Jaya kekal sebagai bandar raya pilihan untuk didiami, bekerja, belajar dan beriadah.

Sejak memperoleh status bandar raya pada tahun 2006, Petaling Jaya telah berkembang menjadi antara pusat ekonomi, pendidikan, kesihatan, inovasi dan perkhidmatan terpenting di negara ini. Dengan keluasan 97.2 kilometer persegi serta populasi seramai 807,879 penduduk setakat Januari 2024, bandar raya ini terus memainkan peranan signifikan sebagai antara pemacu utama pembangunan negeri Selangor dan kawasan Lembah Klang.
Seiring dengan perkembangan tersebut, MBPJ telah melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat, pembangunan mampan, transformasi digital, pengurusan alam sekitar yang berkesan, mobiliti bandar yang lebih baik serta pengukuhan daya tahan komuniti. Usaha berterusan ini bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup penduduk, malah turut mengangkat nama Petaling Jaya di peringkat antarabangsa.
Antara pencapaian yang membanggakan ialah apabila Petaling Jaya muncul sebagai bandar raya pertama di Malaysia yang diterima sebagai ahli UNESCO Global Network of Learning Cities (GNLC). Selain itu, bandar raya ini juga diiktiraf sebagai Bandar Mesra Kanak-Kanak oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF). Pengiktirafan tersebut mencerminkan komitmen MBPJ dalam memperkukuhkan budaya pembelajaran sepanjang hayat, membangunkan modal insan secara inklusif dan mampan serta memastikan kebajikan dan suara kanak-kanak sentiasa diberi perhatian dalam proses pembangunan bandar.
Sepanjang sambutan ulang tahun ini, sebanyak 11 program utama serta enam perkhidmatan percuma akan ditawarkan kepada orang ramai. Antara acara yang dijangka menjadi tumpuan ialah PJ Learning City Festival 2026 yang mengetengahkan pelbagai aktiviti berteraskan pembelajaran sepanjang hayat. Program tersebut merangkumi forum pendidikan, sesi perkongsian ilmu, literasi digital, pembangunan kemahiran, keselamatan siber dan penerokaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin penting dalam kehidupan moden.
Dalam usaha memperkukuhkan budaya digital dalam kalangan masyarakat, program PJ Digital 2026 turut diadakan dengan menampilkan pelbagai pameran teknologi dan inovasi ICT. Pengunjung berpeluang merasai pengalaman realiti maya (VR), menyertai aktiviti interaktif serta pertandingan e-sukan yang dijangka menarik minat golongan muda dan penggemar teknologi.
Pada masa yang sama, aspek kelestarian alam sekitar turut menjadi agenda utama sambutan kali ini. Pelbagai program berkaitan pemeliharaan alam sekitar akan dianjurkan termasuk Hari Terbuka PJ Eco Recycling Plaza, program Trash to Cash, pengumpulan sisa elektrik dan elektronik atau e-Waste, kutipan minyak masak terpakai, bengkel kitar semula serta pelbagai inisiatif ekonomi kitaran yang bertujuan menggalakkan gaya hidup lestari dalam kalangan masyarakat.
Bagi memeriahkan lagi festival tersebut, pelbagai aktiviti komuniti dan kebudayaan turut disediakan. Pengunjung boleh menikmati festival makanan, persembahan seni budaya, persembahan buskers, aktiviti kekeluargaan, program kesihatan, zon permainan kanak-kanak, pertandingan LEGO Robotics serta pelbagai program khas untuk warga emas. Kesemua aktiviti ini dirancang bagi mewujudkan suasana yang inklusif dan menyeronokkan untuk semua lapisan masyarakat.
Kemuncak sambutan akan berlangsung pada 20 Jun 2026 di Laman MBPJ, Jalan Yong Shook Lin menerusi Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20. Acara berprestij itu dijangka menghimpunkan ribuan pengunjung dan pelbagai komuniti melalui perarakan khas yang melibatkan sekolah, institusi pengajian tinggi, sektor kesihatan, industri perhotelan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pelbagai agensi strategik.
Majlis berkenaan akan turut diserikan dengan persembahan kebudayaan, persembahan artis jemputan dan pertunjukan bunga api yang menjadi simbolik kepada kejayaan serta kecemerlangan Petaling Jaya sepanjang dua dekad sebagai sebuah bandar raya yang maju dan sejahtera.
Lebih menarik, malam kemuncak sambutan pada 20 Jun akan menampilkan barisan artis popular tanah air yang bakal menghiburkan pengunjung menerusi persembahan pentas berskala besar. Antara artis yang dijadualkan membuat persembahan ialah Ernie Zakri, Shidi Data, Salma Asis, Zubir Khan, Victoria, Thalita dan Zaki Yamani. Kehadiran artis-artis daripada pelbagai genre muzik ini dijangka menambah kemeriahan sambutan dan menarik kehadiran ribuan pengunjung dari sekitar Petaling Jaya serta Lembah Klang.
Selain persembahan pada malam kemuncak, festival yang berlangsung selama enam hari itu turut menawarkan pelbagai persembahan hiburan lain. Pada 19 Jun, penyanyi dan pencipta kandungan digital popular, Cherpen, akan menghiburkan pengunjung menerusi persembahan khas. Manakala pada hari terakhir festival, 21 Jun, pentas sambutan akan dimeriahkan dengan persembahan Lan Solo, KOI dan kumpulan popular Floor 88 yang sememangnya mempunyai kelompok peminat yang besar. Rangkaian persembahan artis sepanjang festival ini dijangka menjadi antara tarikan utama yang melengkapkan pelbagai program pendidikan, teknologi, komuniti dan kebudayaan yang disediakan oleh MBPJ.
Sebagai penghargaan kepada warga kota yang menjadi nadi kepada pembangunan Petaling Jaya, MBPJ turut menawarkan beberapa inisiatif khas sepanjang tempoh sambutan termasuk kemudahan tempat letak kereta percuma, keahlian percuma Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya serta agihan anak pokok, baja kompos organik dan abate kepada orang ramai.
Dalam majlis prapelancaran yang berlangsung hari ini, MBPJ turut melancarkan Anugerah Komuniti Mampan Petaling Jaya 2026 yang bertujuan mengiktiraf komuniti-komuniti setempat yang aktif melaksanakan amalan kelestarian dan pembangunan mampan. Turut berlangsung ialah penyampaian penghargaan Anugerah Persada Inovasi MBPJ 2026 kepada Kumpulan Kreatif dan Inovatif Majlis serta penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Mereka Cipta Logo Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20.
Sebagai sebahagian daripada usaha memperluaskan hebahan program kepada masyarakat, bahan promosi berkaitan Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20 dan Anugerah Komuniti Mampan Petaling Jaya 2026 turut disampaikan kepada wakil jabatan, agensi kerajaan dan rakan strategik yang hadir.
Dengan rangkaian program yang merangkumi pendidikan, teknologi, komuniti, kebudayaan, hiburan dan kelestarian, sambutan ulang tahun ke-20 ini bukan sahaja menjadi medan meraikan pencapaian masa lalu, malah membuka lembaran baharu ke arah masa depan Petaling Jaya yang lebih mampan, inklusif dan berdaya saing. Orang ramai dijemput hadir memeriahkan sambutan yang berlangsung dari 16 hingga 21 Jun 2026 serta bersama-sama menjadi sebahagian daripada sejarah dan perjalanan berterusan bandar raya yang sentiasa berkembang seiring aspirasi rakyatnya.


