KUALA LUMPUR – Keputusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memilih U Mobile Sdn Bhd sebagai penyedia rangkaian 5G kedua negara dibuat melalui proses tender dan bukannya penganugerahan terus bahkan Menteri dan Timbalan Menteri Komunikasi tidak terlibat dalam proses penilaian berkenaan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan melalui MCMC telah pun melaksanakan proses terperinci dari aspek teknikal dan komersial untuk memilih pengendali rangkaian mudah alih ataupun Mobile Network Operator (MNO) yang akan melaksanakan rangkaian 5G kedua Malaysia.
Jelas beliau, pemilihan ini telah dilaksanakan melalui proses ‘beauty content’ atau melalui proses tender dan bukannya penganugerahan terus (direct award).
“Pemilihan U Mobile dibuat berdasarkan gabungan beberapa faktor seperti rancangan perniagaan dan teknikal yang dikemukakan, rekod kadar aduan dan kepuasan pelanggan serta prestasi mereka dalam melaksanakan infrastruktur lain seperti JENDELA Fasa 1 dan Projek Penaiktarafan 4G yang selaras dengan komitmen MCMC.
“MCMC sebagai badan bebas telah membuat penilaian yang sewajarnya melalui proses tender yang telah dilaksanakan dan keputusan ini perlu dihormati oleh semua pihak kerana pelantikan syarikat pelaksana rangkaian 5G kedua ini telah dilaksana berdasarkan tatakelola yang baik dan bukannya secara penganugerahan terus.
“MCMC akan terus memantau kemajuan rangakaian 5G kedua Malaysia oleh U Mobile bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap semua keperluan peraturan seperti yang termaktub dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” kata Fahmi di Dewan Rakyat pada Khamis.
Menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) berkait pemilihan syarikat U Mobile mengambil kira faktor individu tertentu yang memiliki saham dalam syarikat telco berkenaan.
Fahmi (PH- Lembah Pantai) menegaskan, berdasarkan isu pegangan, pihak MCMC adalah secara bebas.
“Menteri tidak terlibat, Timbalan Menteri tidak terlibat dalam sebarang proses penilaian ini.
“Maka mereka (MCMC) telah meneliti dan memastikan bahawa isu pegangan saham seperti yang saya sebut iaitu tidak lebih daripada 49 peratus pegangan asing, itu telah dipenuhi dan pihak U Mobile juga dengan telah memaklumkan bahawa pegangan asing akan dikurangkan.
“Jadi dari aspek pegangan sama ada pegangan asing mahupun tempatan tidak melanggar syarat-syarat bagi keputusan yang telah dibuat,” jelas Fahmi.
Sementara itu, menjawab soalan kriteria pemilihan U Mobile yang dibangkitkan oleh Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor), Fahmi memberitahu
pihak MCMC akan meneliti dan menilai apa yang disebut sebagai rancangan perniagaan dan rancangan teknikal untuk pelaksanaan rangkaian.
Ujarya lagi, MCMC juga menilai rekod prestasi syarikat-syarikat MNO sebelum ini untuk melihat dan mengenal pasti sama ada dari segi pelaksanaan projek-projek yang telah diberikan kepada syarikat-syarikat telco itu sama ada siap ataupun tidak dan juga tahap kepuasan dikalangan pengguna sama ada dikalangan retail sector mahupun enterprise.
“Ini penting untuk kita, pihak MCMC menilai secara keseluruhan ia bukan sekadar apa yang telah dibentang ataupun apa yang telah disampaikan
tapi juga isu-isu tentang aduan yang telah pihak syarikat-syarikat tersebut terima.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan mengakui adanya keanggotaan wakil U Mobile dalam Lembaga Pengarah Digital Nasional Berhad (DNB).
“Berkenaan dengan DNB memang pada ketika keputusan kerajaan dari awal dulu malah dari sebelum ini pun daripada waktu kerajaan di mana YB (Wan Saiful) adalah sebahagian daripadanya iaitu syarat yang telah ditetapkan adalah MNO-MNO perlu memegang saham di dalam DNB.
“Pegangan saham ini juga akan diterjemah menjadi sejumlah kerusi dalam lembaga pengarah.
“Jadi dari segi tatakelola atau dari segi aspek pegangan saham dan juga korporat governans tidak ada kesalahan dari segi itu dan seperti yang telah juga dimaklumkan oleh pihak U Mobile baru-baru ini telah berhubung dengan pihak DNB untuk memastikan pertama dari segi pengguna 5G sedia ada tidak akan mengalami sebarang masalah dari segi penggunaan 5G.
“Dan saya percaya sekiranya kedua-dua rangkaian ini mempunyai satu matlamat iaitu membangunkan rangkaian yang mampan, sustainable yang juga kompetitif maka akhirnya nikmat akan diperoleh untuk rakyat dan juga pihak enterprise. Jadi ini yang menjadi fokus oleh pihak kerajaan,” jelas Fahmi.