KUALA LUMPUR — Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan semua pemimpin politik supaya sentiasa menjaga adab, tutur kata serta berhati-hati ketika mengeluarkan sebarang kenyataan, terutama melibatkan isu sensitif.
Memetik laporan Bernama, Seri Paduka Baginda bertitah ahli politik tidak seharusnya mencetuskan provokasi berkaitan isu raja, bangsa dan agama demi kepentingan politik, khususnya ketika musim pilihan raya.
“Elakkan provokasi dan pertikaian tentang isu sensitif yang berkaitan dengan raja, bangsa dan agama, kerana ia boleh menimbulkan kemarahan rakyat.
“Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga,” titah Sultan Ibrahim.
Seri Paduka Baginda bertitah demikian pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta anggota Jemaah Menteri termasuk Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan perwakilan asing.
Yang di-Pertuan Agong turut mengingatkan bahawa kebebasan bersuara di media sosial tidak seharusnya disalahgunakan untuk menyebarkan fitnah dan kebencian dalam kalangan rakyat.
Baginda bertitah keadaan menjadi semakin membimbangkan apabila teknologi kecerdasan buatan (AI) digunakan untuk menghasilkan kandungan palsu termasuk video ‘deepfake’ yang menggunakan suara dan imej tiruan.
Sultan Ibrahim turut menzahirkan rasa dukacita apabila gambar Seri Paduka Baginda sendiri digunakan dalam kandungan palsu bagi mengelirukan masyarakat.
Sehubungan itu, Baginda menitahkan pihak berkuasa supaya terus mempertingkat pemantauan dan mengambil tindakan sewajarnya bagi membendung penyebaran kandungan sedemikian.
Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan tahun ini.
Baginda mengingatkan bahawa pengurniaan tersebut bukan untuk bermegah, sebaliknya perlu dijadikan dorongan untuk terus berkhidmat dengan ikhlas kepada agama, bangsa dan negara.
Istiadat pengurniaan itu merupakan kali ketiga disempurnakan Sultan Ibrahim sejak ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 20 Julai 2024.
Secara keseluruhan, seramai 161 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong tahun ini.



