Siapa nak pimpin khemah besar, itu masalah utama – Penganalisis politik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Konsep khemah besar bukanlah perkara baru dalam arena politik Malaysia namun, dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang ini masalah utama yang perlu diselesaikan ialah siapa akan memimpin.

Ketua Kluster Perundangan, Governans dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, jika PRU-14 sebelum ini Pakatan Harapan (PH) sepakat mengangkat Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, tapi pilihan raya kali ini ia berbeza.

“Dalam PH, parti dominan ialah PKR dan DAP namun jika Dr Mahathir dan parti Pejuang nak menyertai khemah besar pembangkang itu mesti mendapat persetujuan majoriti. Bagaimanapun sebelum ini, Dr Mahathir sudah tegaskan menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, yakni Pejuang tidak akan bersama PKR dan Bersatu.

“Manakala bagi parti Bersatu pula buat masa ini dilihat masih tidak dapat menentukan masa depan, samar. Bersatu cuma ‘ngam’ dengan PAS. Namun, konsensus UMNO dan Bersatu tidak begitu baik,” katanya ketika dihubungi Suara.TV pada Selasa.

Nik Ahmad Kamal juga menyebut masa depan Muafakat Nasional (MN) masih kabur, sama ada diteruskan atau sudah mati.

“Kerajaan hari ini dipimpin oleh Perikatan Nasional (PN) di mana amat bergantung dengan UMNO-BN, Bersatu dan PAS. Namun, PN kini retak menanti belah kerana UMNO sudah jelas menolak Bersatu.

“Satu lagi situasi politik iaitu Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin sudah ‘angkat kaki’ tinggalkan Bersatu dan tubuhkan parti baru, Parti Bangsa Malaysia. Tidak mustahil jika selepas ini beliau akan menarik masuk beberapa ahli Parlimen lain, jadi masa depan politik tanah air semakin rumit,” ulas beliau.

Buat masa ini solusi pokok yang wajar ditangani dalam khemah besar ialah siapa parti yang akan menyertai didalamnya sama ada dari pihak BN mahupun PH.

“Temukan konsensus-konsensus tertentu iaitu sama-sama bersedia untuk PRU-15. Sekarang konsep masih tak jelas. Cuma PKR dan DAP kukuh, begitu juga BN dan parti-parti komponen teguh, tapi parti lain masih samar-samar.

“Pejuang dan Bersatu sangat goyah, mungkin PAS juga akan gerakkan khemah besar sendiri. Semua parti harus mencari titik persamaan dan konsensus sebelum Parlimen dibubarkan.

“Malah tak pelik juga jika khemah besar wujud selepas PRU-15. Tapi harus difikirkan juga kesan Rang Undang-undang Anti Lompat Parti sekiranya dilaksanakan sebelum atau selepas pilihan raya umum,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,592FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat