1MDB Ditubuhkan Untuk Dana Politik : Bekas KSN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan memberitahu Mahkamah Tinggi, hari ini, mengikut pemahamannya, syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditubuhkan untuk dijadikan sebagai dana politik kepada parti kerajaan ketika itu, iaitu Barisan Nasional (BN).

Mohd Sidek yang memberikan keterangan pada perbicaraan penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1MDB dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata sehubungan itu beliau tidak pernah bertanya kepada Najib atau mana-mana pihak dalam 1MDB mengenai permasalahan yang berlaku dalam syarikat pelaburan strategik negara itu.

Saksi ke-19 pendakwaan yang juga bekas ahli Lembaga Penasihat 1MDB berkata, beliau mendapat tahu mengenai isu berkaitan 1MDB melalui media massa berhubung dakwaan salah guna dana dan mengetahui ada penyiasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Namun saya tidak pernah diberi taklimat atau diberitahu secara lanjut apakah butiran penyiasatan ke atas 1MDB ini. Datuk Seri (Najib) selaku Perdana Menteri ketika itu juga tidak pernah memberitahu saya terdapat isu dalam 1MDB walaupun saya dilantik menjadi seorang daripada ahli Lembaga Penasihat 1MDB.

Saya diarah jangan kaitkan Najib dengan Jho Low kepada PAC- Saksi Jho Low atur, urus mesyuarat Jawatankuasa Pemandu TIAB – Saksi Najib beritahu 1MDB tidak boleh dedah pelaburan di Brazen Sky kerana sulit

“Saya juga tidak pernah bertanya dengan Najib kenapa tiada sebarang mesyuarat Ahli Lembaga Penasihat 1MDB diadakan sepanjang tempoh saya menjawat jawatan itu. Saya juga tidak ada dilaporkan oleh mana-mana wakil 1MDB mengenai operasi dan pelaburan yang dibuat oleh syarikat.

Sementara itu, Mohd Sidek berkata, beliau beranggapan pelantikannya dalam 1MDB hanya untuk menambah pendapatan sebagai KSN yang dianggap tidak setimpal oleh Najib.

Katanya, Najib pernah bertanyakan mengenai gaji yang diterimanya selaku KSN dan bekas Perdana Menteri itu merasakan gajinya selaku KSN adalah agak kecil.

Mohd Sidek berkata, beliau yang dilantik sebagai KSN bermula 3 Disember 2006 sehingga 23 Jun 2012, menerima mondthly advisory fee (bayaran penasihat bulanan) 1MDB sebanyak RM30,000 sejak 1 Julai 2010 .

Katanya, walaupun selepas bersara daripada perkhidmatan awam, perkhidmatannya sebagai ahli Lembaga Penasihat 1MDB diteruskan dan dibayar fi bulanan berjumlah RM10,000.00 bermula Januari 2013.

“Selepas menerima pemakluman lantikan daripada 1MDB, mana-mana wakil pengurusan 1MDB atau Lembaga Pengarah tidak ada hadir untuk memberikan taklimat atau berjumpa dengan saya. Melalui pengetahuan saya sendiri, saya tahu1MDB adalah sebuah syarikat milik Kerajaan Persekutuan yang diambil alih daripada Terengganu Investment Authority Berhad (TIAB).

“Syarikat 1MDB juga menerima terbitan bon berjumlah RM5 bilion untuk melaksanakan pelaburan jangka masa panjang namun saya tidak diberitahu terperinci oleh mana-mana pihak pengurusan 1MDB mengenai operasi syarikat mereka.

“Saya tidak meminta melalui Najib atau kepada pihak 1MDB untuk meneruskan perkhidmatan saya…Selepas perkhidmatan saya diteruskan, saya tidak ada dijemput hadir dalam mana-mana mesyuarat ahli Lembaga Penasihat atau lain-lain mesyuarat berkaitan isu 1MDB. Saya tidak tahu kenapa khidmat sayaditeruskan selepas persaraan sebagai KSN,” katanya.

Mohd Sidek berkata, beliau menerima surat Pembubaran Lembaga Penasihat melalui satu surat iringan yang dihantar oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Arul Kanda Kandasamy pada 3Jun 2016 dan ditandatangani oleh Najib bertarikh 31 Mei 2016.

melalui surat itu, Mohd Sidek berkata, beliau tidak diberitahu alasan pembubaran Lembaga Penasihat 1MDB dan juga tidak bertanya kepada kepada Najib ataupihak 1MDB mengenainya.

Mahkamah sebelum ini diberitahu, Najib melantik tujuh individu sebagai Ahli Lembaga Penasihat dan pelantikan itu dilakukan berikutan beliau memiliki kuasa kerana tiga peranan utama bekas Perdana Menteri itu terkandung dalam Artikel Persatuan (M&A) 1MDB iaitu sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

Tujuh individu yang dilantik termasuk Menteri Qatar, Sheik Hamad Jassim Jabar Al-Thani; bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan; bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Unit Perancang Ekonomi),Tan Sri Datuk Nor Mohamed Yakcob dan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Turut dilantik ialah bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mubadala Development Emiriah Arab Bersatu (UAE), Khaldoon Khalifa Al Mubarak dan Chang Zhenming iaitu Pengerusi CITIC Group dari China.

-BERITA HARIAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat