KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Hasnal Rezua Merican menyifatkan kemelut yang sedang melanda institusi diraja Negeri Sembilan sebagai sesuatu yang amat mendukacitakan dan berpunca daripada kegagalan pentadbiran mencari penyelesaian yang berhemah serta berwibawa.
Hasnal yang juga seorang peguam berkata, episod tersebut menzahirkan satu kelemahan yang jelas dalam pengurusan krisis apabila pihak yang bertanggungjawab gagal memainkan peranan untuk merapatkan semula hubungan antara institusi yang kini berdepan pertikaian.
Menurut beliau, sehebat mana sekalipun kepakaran seseorang dalam bidang undang-undang dan perlembagaan, tidak ada pihak yang boleh berpegang kepada pendirian bahawa berdasarkan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan, Yang di-Pertuan Besar boleh memerintah secara bersendirian tanpa Undang Yang Empat.
“Jika sudah jelas Raja itu adalah entiti ‘berlima’ di sisi Undang-Undang Tubuh, satu tidak boleh memerintah tanpa yang empat dan yang empat tidak boleh memerintah tanpa yang satu, mengapa tidak segera dicari penyelesaian supaya institusi Raja itu kembali ‘berlima’?
“Seorang pentadbir kerajaan yang berhemah dan berwibawa pasti tahu bahawa mengekalkan perseteruan antara dua entiti ini hanya akan menyulitkan urusan pentadbiran Kerajaan Negeri,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan isu yang sedang berlaku bukan melibatkan soal personaliti atau kecenderungan peribadi mana-mana pihak, sebaliknya membabitkan kedudukan institusi yang mempunyai implikasi besar terhadap legitimasi dan keabsahan tindakan-tindakan susulan termasuk urusan pentadbiran kerajaan negeri.
Hasnal berkata, kegagalan mengambil tindakan yang sewajarnya pada peringkat awal telah menyebabkan kedua-dua pihak yang berseteru kini semakin jauh daripada ruang penyelesaian.
“Hari ini, ketiadaan tindakan yang berhemah dan berwibawa daripada pentadbir telah menatijahkan dua entiti yang berseteru belayar melepasi ‘Rubicon’ atau melepasi simpang untuk berpatah balik,” katanya.
Mengulas pendirian Kerajaan Persekutuan yang mengumumkan pengiktirafan berterusan terhadap Yang di-Pertuan Besar yang kini berada di atas takhta, beliau berpandangan tindakan tersebut tidak menyelesaikan isu pokok yang sedang dihadapi.
Menurutnya, pengiktirafan oleh Kerajaan Persekutuan tidak menambah atau mengurangkan apa-apa dari sudut penyelesaian pertikaian yang berlaku.
“Pengiktirafan itu tidak memberi legitimasi atau mengurniakan keabsahan. Ia juga tidak mampu mencantumkan yang satu dan yang empat kembali menjadi ‘berlima’.
“Isu sebenar yang perlu diselesaikan ialah bagaimana institusi Raja Negeri Sembilan dapat dipulihkan semula agar berfungsi sebagai satu entiti yang lengkap sebagaimana yang diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan,” katanya.



