Strategi BN bertanding solo di Johor tidak bercanggah dengan kerjasama PH di Putrajaya — Salleh Said Keruak

KUALA LUMPUR — Bendahari UMNO, Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak berpandangan keputusan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak bercanggah dengan kerjasama parti itu bersama Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan.

Menurut beliau, strategi politik yang berbeza antara negeri dan Persekutuan adalah sesuatu yang lazim dalam sistem politik gabungan di banyak negara.

“Ada yang melihat keputusan BN bertanding secara solo di Johor sebagai tidak selari dengan kerjasamanya bersama PH di Putrajaya. Sebenarnya, keadaan seperti ini bukan sesuatu yang luar biasa dalam politik gabungan,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata, di peringkat Persekutuan, kerjasama antara BN dan PH berlaku kerana keperluan mendapatkan majoriti mencukupi bagi membentuk kerajaan yang stabil selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

Namun katanya, situasi di Johor berbeza apabila BN merasakan mereka mempunyai kekuatan tersendiri untuk mendapatkan mandat rakyat tanpa perlu bergantung kepada kerjasama politik lain.

“Di Johor pula, BN merasakan mereka mempunyai kekuatan untuk mendapatkan mandat rakyat atas kapasiti sendiri,” katanya.

Beliau turut memberi contoh beberapa negara lain yang mengamalkan pendekatan politik serupa, termasuk di Jerman, India dan Australia.

Menurutnya, di Jerman, parti-parti utama boleh bersaing semasa pilihan raya tetapi akhirnya membentuk kerajaan gabungan apabila tiada parti memperoleh majoriti jelas.

Katanya lagi, di India pula terdapat keadaan di mana parti yang bekerjasama di peringkat nasional bertanding sesama sendiri di peringkat negeri, manakala di Australia strategi politik turut berubah mengikut negeri dan situasi semasa.

Salleh turut mengaitkan perkara itu dengan pengalaman politik di Sabah semasa Pilihan Raya Negeri Sabah 2025 lalu.

“Sabah juga pernah melalui situasi yang hampir sama. Dalam PRN Sabah 2025, BN, GRS dan Warisan bersaing untuk mendapatkan mandat rakyat. Selepas pilihan raya, BN memilih untuk menyertai kerajaan negeri bersama GRS manakala Warisan kekal sebagai pembangkang,” katanya.

Menurut beliau, landskap politik moden memperlihatkan parti politik boleh menjadi pesaing semasa pilihan raya tetapi bekerjasama selepas keputusan diumumkan sekiranya keadaan memerlukan.

“Yang penting ialah kestabilan kerajaan dan keupayaan untuk mentadbir dengan berkesan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat