Peserta RTK Paya Laka dapat insentif RM500 – MB Pahang

- Advertisement -

ROMPIN – Seramai 262 peserta Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Paya Laka menerima bantuan khas RM500 seorang secara atas talian bagi mengurangkan bebanan kos sara hidup.

Berita baik itu diumumkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Infrastruktur Agrotourism Paya Laka, Kampung Sepayang.

“Saya dengan sukacitanya ingin memaklumkan khabar gembira kepada 262 orang peserta RTK Paya Laka bahawa pada hari ini, pihak Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) melalui anak syarikat iaitu PKPP Agro Sdn Bhd telah mengkreditkan sumbangan Bantuan Khas berjumlah RM500 seorang secara atas talian.

“Diharapkan dengan bantuan khas ini, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung para peserta RTK dalam menjalani kehidupan seharian yang semakin mencabar ketika ini,” katanya pada Isnin.

Wan Rosdy juga memberitahu, dalam tempoh 27 tahun sejak penubuhan projek RTK Paya Laka ini, bayaran saham yang telah dibuat kepada para peserta adalah berjumlah RM12.682 juta.

Malah katanya, bagi tahun 2022 ini, bayaran yang telah dibuat secara atas talian sebanyak 3 kali dengan jumlah RM3,000 kepada setiap peserta.

“Saya dimaklumkan bahawa Paya Laka merupakan kawasan sawah padi seluas 324 hektar yang diusahakan oleh PKPP melalui anak syarikatnya PKPP Agro Sdn Bhd sejak dari tahun 1995 lagi yang melibatkan 262 orang peserta.

“Dan Projek Pembangunan Infrastruktur Agrotourism Paya Laka ini merupakan cetusan idea daripada Datuk Seri Hasan Arifin dan Datuk Seri Mohd Johari Hussain bagi meningkatkan ekonomi masyarakat tempatan serta menarik pelancong dalam dan luar negeri ke daerah Rompin,” katanya.

Wan Rosdy menambah, perancangan untuk membangunkan projek ini telah dibawa kepada perhatian beliau dan beliau telah bersetuju agar PKPP membuat permohonan peruntukan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pada tahun 2021 yang dilaksanakan oleh Datuk Suhaimi Mohd Yunus selaku Ketua Pegawai Eksekutif PKPP dan pasukannya.

“Alhamdulillah, akhirnya KPLB dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) telah meluluskan peruntukan berjumlah RM5 juta menerusi RMK-12 dan projek ini akan siap dalam tempoh 2 tahun.

“Sesungguhnya, saya percaya Agrotourism Paya Laka ini akan menjadi satu lagi destinasi pelancongan di Negeri Pahang khususnya di daerah Rompin serta mampu menarik ramai pelancong kerana masih tidak banyak destinasi pelancongan yang berasaskan sawah padi di negeri ini.

“Dengan menaik taraf infrastruktur sedia ada dan pembinaan bangunan pentadbiran serta kemudahan awam di kawasan Paya Laka ini, Agrotourism Paya Laka mampu menjana pendapatan penduduk tempatan melalui peluang pekerjaan dan aktiviti perniagaan seperti majlis keraian dan perkahwinan, demonstrasi menanam padi dan mengemping padi, memancing di sawah serta pelbagai lagi aktiviti yang menarik,” ujar beliau.

Jika dilihat secara keseluruhannya, Wan Rosdy berkata pelbagai manfaat yang akan dapat diperolehi daripada projek ini.

“Antaranya ialah membantu peserta-peserta RTK Paya Laka dan penduduk tempatan sekitar Rompin menambah pendapatan melalui pembangunan sawah padi serta pembangunan pusat pelancongan berkonsepkan Agro Tourism.

“Lokasi projek yang strategik iaitu berhampiran dengan kawasan pinggir pantai dan Taman Negeri Rompin, mampu menjadikan daerah Rompin sebagai tumpuan pelancong yang akan memberi manfaat dan pertumbuhan ekonomi penduduk di daerah ini; mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

“Besarlah harapan saya agar projek Pembangunan Infrastruktur Agrotourism di Paya Laka ini mempunyai kesinambungan dan limpahan ekonomi yang dapat dikembangkan ke kawasan sekitar daerah Rompin,” kata Wan Rosdy lagi.

Sehubungan dengan itu Menteri Besar Pahang itu berkata, adalah diharapkan agar pihak KPLB dapat
membantu menyalurkan peruntukan untuk pelaksanaan Fasa 2 yang meliputi komponen-komponen seperti penambahbaikan landskap, jalan slab di tengah sawah dan beberapa komponen lain yang tidak termasuk dalam pelaksanaan Fasa 1.

“Saya juga berharap agar pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensiagensi teknikal berkaitan dapat membantu menyegerakan pelaksanaan projek ini bagi memastikan projek ini dapat disiapkan dalam masa
ditetapkan.

“Kerajaan Negeri Pahang sentiasa peka dan menitikberatkan aspek kebajikan terhadap semua golongan masyarakat, tanpa mengambil kira warna kulit, agama mahupun pegangan politik seseorang itu,” katanya.

Wan Rosdy menambah, sepanjang beliau memikul amanah sebagai Menteri Besar Pahang pada penggal yang lalu, Kerajaan Negeri Pahang telah melaksanakan pelbagai dasar dan langkah yang strategik bagi memastikan setiap lapisan masyarakat di negeri ini mendapat faedah dan manfaat daripada setiap pembangunan bagi menambah baik kehidupan masing-masing.

“Pada masa yang sama, kombinasi Kerajaan Negeri mencerminkan kemajmukan dan kepelbagaian yang menjadi kekuatan Negeri Pahang.

“Malah, pada hari Jumaat yang lalu, satu barisan EXCO baharu telah pun dibentuk yang menggabungkan Ahli-Ahli Dewan Negeri daripada Barisan Nasional (BN) dan juga Pakatan Harapan (PH).

“Saya akan pastikan segala sentimen politik dan perbezaan ideologi dikesampingkan, dan satu-satunya perkara yang menjadi keutamaan semua pihak pada ketika ini adalah kestabilan dan kemakmuran Negeri Pahang,” katanya. – Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat