Shahrir Samad Gesa SPRM Pulangkan Kereta Yang Dirampas

- Advertisement -

BATU PAHAT – Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulangkan semula kereta Honda Civic Hybrid yang dirampas sebelum beliau didakwa di mahkamah berhubung pengubahan wang haram berjumlah RM1 juta.

Veteran UMNO itu berkata, SPRM seolah-olah tidak mempedulikan keputusan mahkamah yang menggugurkan kesnya mengikut Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA), berkaitan kesalahan mengikut Seksyen 13 Akta Cukai Pendapatan.

“Hari ini sudah 5 Mei, maknanya semalam sudah empat bulan sejak Mahkamah Tinggi menggugurkan kes SPRM terhadap saya di bawah AMLA/LHDN.

“Empat bulan tetapi SPRM belum lagi menyerah balik kereta Honda Civic Hybrid yang mereka rampas daripada keluarga sebelum saya didakwa di mahkamah.

“Semasa perbicaraan, Timbalan Pendakwa Raya dan SPRM panggil begitu ramai saksi termasuk jurujual, kerani syarikat jualan kereta itu, pegawai bank dan pegawai JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) Putrajaya, semata-mata membuktikan saya membeli kereta itu,” katanya di Facebook.

Shahrir berkata, sehari sebelum kesnya digugurkan, beliau ada menulis mengenai Timbalan Pendakwa Raya SPRM agak kecetekan fahaman mengenai undang-undang.

Katanya, keesokannya, Timbalan Pendakwa Raya menyatakan kepadanya supaya jangan panggil mereka cetek fahaman.

“Baiklah. Kalau mereka tidak cetek dari segi fahaman undang-undang, mengapa pula sudah empat bulan dan mereka belum lagi menyerah kembali Honda Hybrid yang dirampas,” soalnya.

Katanya, mahkamah bertindak lebih pantas apabila menyerah kembali wang jamin dan pasport kepadanya selepas beliau dilepas dan dibebaskan.

Januari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan supaya Shahrir dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta diterima daripada Datuk Seri Najib Razak melalui sekeping cek kepada LHDN.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan pihak pendakwaan dan pembelaan bekas Pengerusi FELDA itu. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat