Projek perintis berjaya, Perak bakal jadi pengeluar bawang merah terbesar negara – Saarani

- Advertisement -

GOPENG – Perak bakal menjadi pengeluar bawang merah kecil terbesar negara selepas kejayaan projek perintis di Kampung Kuala Bikam, Sungkai yang mengeluarkan hasil 3.3 tan metrik.

Bawang merah kecil BAW-1 yang dihasilkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dijenamakan semula sebagai Bawang Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, program pembangunan tanaman bawang yang bermula awal tahun 2024 melibatkan skala pra komersial hingga tahun 2025 dan skala komersial akan mula dilaksanakan pada tahun 2026 hingga 2030.

Menurutnya, Jabatan Pertanian Negeri Perak telah mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk memperluaskan kawasan projek tanaman bawang seluas lapan hektar melibatkan daerah Batang Padang dan Kinta.

“Hari ini, kita menyaksikan simbolik penyerahan hasil bawang merah kecil tempatan yang dituai pada 3 dan 17 April lalu oleh Jabatan Pertanian kepada FAMA untuk menguruskan fasa pemasaran ke peringkat pengguna.

“Memandangkan projek rintis penanaman bawang kecil ini bermula di Perak, kerajaan negeri berhasrat untuk menjenamakan bawang merah kecil ini sebagai Bawang Perak (BP) bagi membezakan dengan bawang-bawang import lain yang berada di pasaran,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan itu di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini, hari ini.

Beliau berkata Bawang Perak sejumlah 3.3 tan metrik itu akan mula memasuki pasaran pertengahan bulan ini dan dijual dengan harga RM10 hingga RM12 sekilogram, setanding dengan harga bawang import.

Bagaimanapun, menurutnya, Bawang Perak mempunyai kelebihan tersendiri seperti dari segi kesegaran, kerangupan, warna isinya yang lebih merah dan aroma yang kuat.

Katanya, kerajaan negeri sangat menyokong usaha itu dan berharap melalui skala pra komersial yang diusahakan mampu menjadi pencetus kepada pengeluaran bawang dalam negara bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia dan seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada import bawang menjelang tahun 2030.

Saarani juga yakin, harga Bawang Perak boleh dikurangkan lagi apabila ia diusahakan secara komersial dan besar-besaran. – Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat