Johor kutuk serangan terhadap pemain bola sepak, kecewa perlawanan dibatalkan

- Advertisement -

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor mengutuk sekeras-kerasnya dan sentiasa memandang serius beberapa insiden yang telah menimpa pemain bola sepak negara termasuk Akhyar Rashid, Faisal Halim dan Safiq Rahim baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mencetuskan isu-isu yang menggugat keharmonian dan keselamatan di Johor.

Menurutnya, sebagai penyokong pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), beliau berasa terkilan dengan keputusan Selangor FC untuk tidak hadir ke perlawanan Liga Super Malaysia dan Piala Sumbangsih yang sepatutnya berlangsung Jumaat.

“Walaupun sudah mendapat jaminan (keselamatan) daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar.

“Malah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor juga telah bersetuju untuk mengerahkan 1,500 anggota polis untuk memantau aspek keselamatan pada perlawanan berkenaan,” katanya dalam muat naik di Facebook pada malam Selasa.

Onn Hafiz turut berharap penyokong JDT tidak berputus asa dan sentiasa menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi.

“Saya ingin menzahirkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada pasukan JDT di atas kesediaan, komitmen dan profesionalisme yang ditunjukkan untuk tetap meneruskan perlawanan yang telah dijadualkan berbekalkan keyakinan jaminan diberikan PDRM, bahawa keselamatan pasukan, pemain dan penyokong menjadi keutamaan.

“Semoga penyokong JDT tidak berputus asa dan tetap menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi serta mengekalkan profesionalisme dalam memberikan sokongan penuh kepada pasukan dalam setiap perlawanan-perlawanan yang akan datang,” katanya.

Sebelum itu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada Khamis memutuskan bahawa perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim pada Jumaat dibatalkan.

Pembatalan tersebut selepas Selangor FC membuat keputusan untuk tidak hadir ke perlawanan tersebut bagi menentang juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT).

MFL menerusi satu kenyataan memaklumkan keputusan Selangor FC itu dimaklumkan menerusi surat rasmi yang dihantar kepada MFL. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat