KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda DAP Woo Kah Leong membantah cadangan ahli Parlimen Pas untuk melantik timbalan speaker Dewan Rakyat dari kalangan pembangkang, sebagai sebahagian daripada usul reformasi Parlimen yang dicadangkan.
Kah Leong menolak cadangan wakil rakyat Parit Buntar Mohd Misbahul Munir Masduki yang dibuat dalam perbahasan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
“Amatlah hiprokrit apabila terdapatnya ahli Parlimen PN yang menyebut tentang reformasi Dewan Rakyat khususnya permintaan untuk menjadikan wakil rakyat pembangkang sebagai timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat.
“Sebagai bekas setiausaha sulit timbalan speaker, saya masih ingat betapa rakus dan tergesa-gesa kerajaan PN untuk membuangkan Tan Sri Ariff Md Yusof (sebagai speaker)… ketika negara dilanda Covid-19,” kata Kah Leong.
Ketika melontarkan cadangannya, Misbahul berhujah sekurang-kurangnya salah seorang daripada tiga timbalan speaker sepatutnya dilantik daripada kalangan ahli Parlimen pembangkang.
Mohd Ariff berkhidmat sebagai speaker Dewan Rakyat yang ke-9 dari 18 Julai 2018 hingga dia disingkirkan pada Julai 2020, selepas kerajaan PH tumbang susulan Langkah Sheraton.
Mengulas lanjut, Kah Leong menyindir tindakan kerajaan PN ketika dipimpin bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggantung prosiding Parlimen di bawah alasan darurat akibat pandemik.
“Kerajaan PN boleh “membekukan” Parlimen dengan alasan darurat, namun boleh sahaja diadakan sesi untuk membuang speaker dan timbalan speaker selepas merampas kuasa melalui Langkah Sheraton.
“Memang muka tak malu bila sebut tentang “reform” Dewan Rakyat apabila parti sendiri membinasakan demokrasi Dewan Rakyat seketika dahulu dan sekarang pula melaungkan slogan untuk mereformasikan Dewan Rakyat?
“Kalau nak reform, kenapa tak mengundi untuk pindaan perlembagaan semalam?
“57 yang hadir & MP PN lain yang tak hadir tak nak reformasikan parlimen,” soalnya memetik Malaysiakini pada Rabu.
Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata beliau kesal terhadap tindakan 57 ahli parlimen pembangkang yang tidak mengundi untuk meluluskan rang undang-undang itu.
Fahmi berkata kegagalan pembangkang untuk mengundi Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat menunjukkan sikap sambil lewa mereka dalam menyokong usaha memperkukuh Parlimen Malaysia sebagai institusi bebas.