KUALA LUMPUR – Putera kedua Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, Tunku Zain Al-’Abidin dimasyhurkan sebagai penyandang Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan berkuat kuasa serta-merta.
Pemasyhuran itu disempurnakan sendiri oleh Tuanku Muhriz dalam Istiadat Pengurniaan dan Perisytiharan Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar yang berlangsung di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti pada Khamis.
Istiadat berlangsung mengikut adat istiadat Diraja Negeri Sembilan dengan keberangkatan masuk Tuanku Muhriz dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud ke Balairong Seri, diiringi Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz sebelum Lagu Kebesaran Negeri Sembilan dimainkan.
Orang Empat Istana kemudian memohon perkenan bagi memulakan istiadat sebelum Tunku Zain dipersilakan menghadap bagi menerima watikah pelantikan sebagai Tunku Panglima Besar.
Turut hadir pada istiadat itu ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bersama isteri dan pemimpin adat serta masyarakat negeri.
Tunku Zain, putera kepada Tuanku Muhriz dikenali menerusi penglibatan aktif dalam bidang pendidikan, pembangunan belia serta dasar awam.
Beliau yang kini berusia 44 tahun merupakan Canselor Universiti UCSI, Pro-Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta Presiden Kolej ICAN.
Beliau turut mengasaskan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), sebuah badan pemikir yang memberi tumpuan kepada isu tadbir urus, dasar awam dan reformasi institusi.
Graduan London School of Economics and Political Science (LSE) itu pernah berkhidmat dengan Parlimen United Kingdom, Bank Dunia serta Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).
Selain itu, beliau juga mengasaskan IDEAS Autism Centre yang kini mengendalikan tiga pusat di Rawang, Nilai dan Port Dickson, serta IDEAS International Secondary School yang mempunyai kampus di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Beliau turut aktif dalam pelbagai inisiatif kebudayaan, penulisan serta pembangunan sukan di Negeri Sembilan, lapor Astro Awani di Kuala Pilah pada Khamis.
Pemasyhuran Tunku Zain sebagai Tunku Panglima Besar dibuat susulan kekosongan gelaran pusaka berkenaan selepas penyandang terdahulu, Tunku Datuk Seri Nadzaruddin Tuanku Ja’afar, tidak lagi memegang gelaran tersebut.
Pada 9 Jun lalu, pihak Istana Besar Seri Menanti memaklumkan, Tunku Nadzaruddin telah melepaskan gelaran Tunku Panglima Besar selepas tindakannya menerima pengisytiharan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dalam satu majlis di sebuah hotel di Alor Gajah, Melaka pada 5 Jun.
Menurut kenyataan istana, pengisytiharan tersebut disifatkan tidak sah dan tidak diiktiraf di bawah Perlembagaan, undang-undang serta adat Negeri Sembilan.
Istana turut memaklumkan, tindakan tersebut menyebabkan gelaran Tunku Panglima Besar yang disandang beliau menjadi kosong.
Bagaimanapun, keabsahan pemasyhuran Tunku Zain itu dijangka turut menjadi tanda tanya memandangkan ia dibuat ketika krisis perlembagaan Negeri Sembilan masih berlarutan dan dalam keadaan Undang Yang Empat sebelum ini telah memasyhurkan Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-12. Dalam konteks itu, sebarang tindakan berkaitan gelaran pusaka dan kehormatan negeri dijangka terus mengundang pertikaian dari sudut perlembagaan dan adat.
Malah, laporan SuaraTV sebelum ini memetik pandangan peguam bahawa Perkara XXVI Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 memperuntukkan Yang di-Pertuan Besar adalah sumber segala kehormatan, kemuliaan, gelaran, darjah kebesaran dan pingat dalam negeri, namun pelaksanaan kuasa itu hendaklah dibuat selepas berunding dengan Undang Yang Empat.
Perkara XXVII pula memperuntukkan bahawa penarikan balik sesuatu gelaran, darjah kebesaran atau pingat juga hanya boleh dibuat selepas berunding dengan Undang Yang Empat.
Sehubungan itu, tindakan memasyhurkan Tunku Zain sebagai Tunku Panglima Besar tanpa penglibatan Undang Yang Empat berpotensi dipersoalkan atas alasan proses tersebut mungkin tidak memenuhi kehendak Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan. Dalam suasana krisis yang masih belum selesai, isu ini dijangka menambah lagi perdebatan mengenai siapa yang mempunyai autoriti sah dalam urusan pelantikan dan penarikan gelaran dalam institusi diraja Negeri Sembilan.



