Oleh Zihan Zari
JITRA – Seramai 98 perajurit muda Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah rukh (POLIMAS) telah membuktikan keupayaan luar biasa apabila menamatkan Kursus Repalman Siri 1/2026 dengan jayanya di POLIMAS dekat sini, baru-baru ini.
Kursus peningkatan lanjutan itu yang berlangsung dari 15 hingga 28 Mei lalu itu bertujuan membentuk jati diri, disiplin tinggi, serta memantapkan kemahiran ketenteraan asas selepas para peserta menamatkan kursus ini.
Sepanjang dua minggu menjalani latihan intensif, para peserta didedahkan dengan pelbagai modul latihan menguji mental dan fizikal yang mencabar keupayaan maksimum mereka seperti kawad tongkat, pengendalian senjata, latihan medan dan aktiviti sukan.
Amanat Kepimpinan dan Kerjasama Strategik
“Kepentingan kesinambungan disiplin ketenteraan dalam kehidupan harian para penuntut. Segala ilmu, taktikal, dan nilai kepimpinan yang digarap sepanjang dua minggu ini bukan sekadar untuk kursus ini sahaja, ”kata Timbalan Komander Rejimen 513 Askar Wataniah (AW), Lt Kol Mohd Fauzan Abdul Ghafar.
“Saya mahu setiap penuntut memanfaatkan sepenuhnya pengalaman ini untuk membentuk keperibadian yang kental, berintegriti, dan sentiasa bersedia berbakti kepada nusa dan bangsa,”katanya ketika berucap pada majlis penutupan kursus tersebut.
Sementara itu, Ketua Unit Corporate Industrial Services and Employability Centre (CISEC), Zainuddin Jaafar menzahirkan rasa bangga atas komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh institusi dan para pelajar dalam menjayakan program kolaborasi ini.
Beliau yang mewakili Pengarah POLIMAS berkata pihak POLIMAS sentiasa menyokong penuh program yang memperkasakan sahsiah pelajar.
“Keberhasilan 98 penuntut ini membuktikan bahawa mahasiswa kita bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan teknikal, malah mempunyai ketahanan mental serta disiplin acuan ketenteraan yang amat tinggi,”katanya.
Suasana majlis turut diserikan dengan upacara pemakaian pangkat daripada Perajurit Muda (PBT) kepada Laskar Korporal (LKPL) bagi penuntut yang layak.
Luahan Rangsangan Penerima Anugerah Utama
Kemuncak majlis menyaksikan penyampaian anugerah khas kepada empat penuntut cemerlang. Antaranya, penerima Anugerah Keseluruhan Terbaik, 6305571 LKPL Mohamad Sabri Firdaus Md Saupian yang meluahkan rasa syukur dan menyifatkan kejayaan manis ini sebagai pembakar semangat untuk terus maju.
“Kejayaan ini adalah hasil kerja keras bersama rakan-rakan sepasukan dan bimbingan tanpa jemu para jurulatih. Anugerah ini menaikkan lagi azam saya untuk memikul tanggungjawab baharu sebagai LKPL dengan penuh amanah dan mengekalkan mutu disiplin terbaik,” katanya dengan penuh bersemangat.
Tiga lagi penerima anugerah khas yang turut mencuri tumpuan ialah, Akademik Terbaik: 6311139 PBT Kahyeesah Hayrul; Kawad Terbaik: 6305545 LKPL Muhammad Aidil Faris Rashidi Sabri; dan Jasmani Terbaik: 6311152 Pbt Theiviegan a/l Ramasamy.
Majlis ditutup dengan penuh semangat patriotisme, meninggalkan impak mendalam buat seluruh warga Rejimen 513 AW dan POLIMAS dalam melahirkan generasi pelapis negara yang berwibawa. – SUARA.TV


