JOHOR BAHRU – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim tampil menegur budaya politik berasaskan persepsi dan maklumat tidak tepat yang menurutnya semakin berleluasa dalam kempen politik menjelang pilihan raya.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Marina berkata beliau menerima mesej daripada orang ramai yang mendakwa beliau mendapat layanan istimewa daripada kerajaan negeri ketika menjadi ADUN, susulan satu wawancara yang tular sebelum ini.
Menurut beliau, dakwaan tersebut tidak benar kerana segala kemudahan dan peruntukan yang diterimanya turut diberikan kepada ADUN pembangkang lain.
“Saya tak dapat apa keistimewaan pun. Semua keistimewaan saya dapat, semua rakan pengimbang juga dapat,” katanya.
Marina turut membidas dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa kerajaan negeri Johor tidak menyalurkan sebarang peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang tahun ini.
Katanya, semua ADUN menerima peruntukan jurutulis sebanyak RM200,000 selain tambahan RM50,000 bagi kerja-kerja kecil menerusi pejabat daerah yang disalurkan oleh Menteri Besar Johor.
Beliau juga menjelaskan program Semarak Subuh yang diperkenalkan kerajaan negeri turut melibatkan semua ADUN termasuk wakil rakyat bukan Islam.
Pada masa sama, Marina mengakui terdapat beberapa peruntukan yang tidak diteruskan pada tahun ini seperti bantuan pengurusan tambahan dan sumbangan program perayaan secara automatik, namun perkara itu bukan sesuatu yang luar biasa kerana wakil rakyat boleh mengemukakan permohonan tambahan kepada kerajaan negeri mengikut keperluan kawasan masing-masing.
“Sebab kawasan tidak sama besar. Ada yang pengundi 50,000 sahaja, ada pengundi 102,000. Memang dari dulu tak cukup peruntukan, jadi buat permohonan tambahan melalui surat,” katanya.
Beliau turut mempertahankan dakwaan bahawa wakil rakyat pembangkang masih diberikan ruang untuk menyuarakan pandangan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) dan Mesyuarat Tindakan DUN (MTD).
Menurut Marina, sehingga April tahun ini semua ADUN termasuk pembangkang dibenarkan menghadiri mesyuarat berkenaan dan mengemukakan isu atau cadangan pembangunan kawasan masing-masing.
“Dalam MTD semua ADUN termasuk pengimbang boleh kemukakan isu apa yang hendak dimohon di kawasan. Bukan saya sahaja yang dapat peruntukan. Semua pengimbang juga dapat mengikut kawasan dan permohonan yang dibuat,” katanya.
Mengulas lebih lanjut, Marina mengingatkan orang ramai supaya tidak terlalu terpengaruh dengan retorik kempen dan politik persepsi yang boleh mengelirukan rakyat.
Katanya, rakyat perlu menilai fakta dan dasar yang dibawa oleh mana-mana parti politik sebelum membuat keputusan.
“Berpolitik jangan ikut emosi. Ini sudah tahun 2026, bukan zaman dulu. Pertimbangkan mana politik persepsi dan mana politik yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Mana yang baik, sokonglah,” katanya.
Beliau turut menggalakkan rakyat mengikuti pelbagai pandangan politik daripada semua pihak sebelum menentukan pilihan masing-masing pada pilihan raya akan datang.



