Ebby, Yantzen harap dapat bantuan bencana

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dua selebriti, Ebby Yus, 57, dan Yantzen, 63, menyambut baik usaha kerajaan menerusi Bantuan Bencana Banjir Keluarga Malaysia yang memperuntukkan sehingga RM56,000 bagi kos pembinaan semula kediaman yang musnah secara total dalam bencana banjir, baru-baru ini.

Berita baik itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perutusan khas sempena Tahun Baharu 2022, baru-baru ini.

Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.4 bilion bagi memastikan segala bantuan dan kemudahan kepada mangsa banjir dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh di bawah Bantuan Banjir Keluarga Malaysia.

Ebby dan Yantzen, antara mangsa banjir apabila kediaman dibina dari hasil titik peluh musnah dan mengalami kerosakan teruk dalam bencana banjir di Hulu Langat, baru-baru ini.

Ebby berkata, bantuan kerajaan dapat meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir.

“Ini satu tindakan baik daripada Perdana Menteri apabila mengumumkan Bantuan Bencana Banjir Keluarga Malaysia.

“Saya tidak pernah mengharapkan bantuan sepenuhnya, namun jika diberi separuh daripada kos pembinaan rumah yang rosak sudah cukup besar rahmat.

“Ditambah lagi, mangsa banjir sudah kehilangan rumah. Situasi saya lebih perit apabila tanah dihakis dan separuh daripadanya sudah masuk ke dalam sungai. Jadi, ia mungkin menelan belanja besar kerana nak kena ukur dan tambak semula tanah,” katanya kepada BH Online.

Pelakon sitkom Karoot Komedia X dan Jenaka Kampung Kalut itu berkata, bantuan diberi kerajaan memberi suntikan semangat kepada mangsa banjir untuk memulakan kehidupan semula.

“Saya percaya mangsa banjir sedang bergelut dan tak tahu sekuat mana mampu mengharungi ujian getir ini. Cuma, persoalannya bagaimana cara memohon dan mendapatkan bantuan ini. Jadi, penjelasan terperinci diperlukan untuk mangsa banjir membuat permohonan.

“Jika sekadar buat pengumuman bantuan sahaja tidak cukup tanpa memaklumkan prosedur lengkap untuk melakukan permohonan. Selain itu, tempoh menunggu kelulusan dan maklum balas seterusnya berapa lama rumah baharu boleh didirikan juga perlu diketahui,” katanya.

Terdahulu, kediaman Ebby musnah sekelip mata dihanyutkan arus dalam bencana banjir di Kampung Paya Lebar, Kuala Langat pada 18 Disember lalu.

 

Yantzen berdepan 90 peratus kerosakan harta benda mengharapkan bantuan sampai ke tangan mangsa banjir seperti dijanjikan.
Yantzen berdepan 90 peratus kerosakan harta benda mengharapkan bantuan sampai ke tangan mangsa banjir seperti dijanjikan.

 

Kediaman yang hanya tinggal 10 peratus disiapkan di tanah setengah ekar di kawasan penempatan itu, dihanyutkan arus deras, mengakibatkan Ebby atau nama sebenar, Muhammad Yunus Abdul Rashid kerugian hampir RM200,000.

Sementara itu, penyanyi Yantzen mengharapkan bantuan berkenaan diberikan kepada mangsa banjir bukan sekadar janji manis.

“Jika benar mahu menghulurkan bantuan, salur dengan cara yang betul. Saya berterima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan terhadap kesusahan mangsa banjir, amun, saya bimbang bantuan akan berlalu sepi. Saya berani katakan berdasar pengalaman lalu.

“Ada individu ditemui meluahkan perasaan bantuan digembar-gemburkan tidak sampai ke tangan mereka. Jadi, siapa perlu dipersalahkan dalam soal ini?

“Jangan sekadar berjanji, namun, hakikatnya bantuan tidak sampai. Saya bukannya mahu mengkritik, tetapi kalau betul nak bantu, buat dengan cara betul,” ujarnya.

Penyanyi lagu Insan itu menegaskan, isu bencana bukan perkara main-main.

“Saya berharap bantuan ini sampai kepada mangsa banjir yang berdepan ujian getir ketika ini. Bagi saya, ini juga tanggungjawab kerajaan membantu rakyat yang terkesan,” katanya.

Yantzen atau nama sebenarnya, Yantzen Juniwan berkata, dia bersyukur didatangi saudara mata, rakan dan badan bukan kerajaan (NGO) ketika berdepan kesukaran.

“Saya perhatikan banyak NGO menghulurkan bantuan kepada saya dan kawasan kejiranan sejak awal musibah banjir.

“Namun, wakil kerajaan pula hanya datang kemudian. Itu hakikatnya,” katanya.

Kediaman Yantzen di Jalan Kuari Sungai Long, Kampung Sungai Serai, Batu 12, Hulu Langat tenggelam dan hampir 90 peratus mengalami kerosakan dalam bencana banjir itu.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat