KUALA LUMPUR -UMNO berdukacita kerana koordinasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan agensi-agensi berkaitan seolah-olah tidak bermaya dan amat lemah sekali dalam menghadapi musibah banjir pada kali ini.

Sedangkan kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, NADMA mempunyai garis panduan penyelarasan musibah banjir yang komprehensif sejak dibangunkan pada 2014.

Susulan itu, UMNO turut menyarankan agar sidang khas Dewan Rakyat mengenai bencana banjir diadakan.

“Sidang Parlimen Khas ini bagi membolehkan wakil-wakil rakyat mengutarakan pandangan dan resah rakyat serta melontarkan cadangan-cadangan untuk membantu kerajaan mencari jalan terbaik menghadapi bencana yang berlaku,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Zahid yang juga memaklumkan UMNO ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga 48 mangsa banjir yang disahkan terkorban sejak bencana berkenaan melanda beberapa buah negeri bermula pada pertengahan Disember lalu.

“Dengan angka korban yang begitu tinggi berbanding banjir besar yang pernah melanda negara pada tahun 1971 (30 orang) dan 2014 (21 orang), tentunya memerlukan Kerajaan Keluarga Malaysia melaksanakan segera saranan Titah Yang di-Pertuan Agong agar dilakukan Post-Mortem Bencana Banjir.

“UMNO menghargai segala bantuan untuk mangsa banjir sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri yang boleh mencecah sehingga RM61,000 untuk satu keluarga.

“Diharapkan maklumat mengenai kaedah perlaksanaan dan penyalurannya dapat segera dimaklumkan kepada rakyat dan dikurangkan sebarang karenah birokrasi agar prosesnya dipercepatkan,” ujar Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Dalam perkembangan lain Zahid berkata, UMNO juga berharap kerajaan dapat mempertimbangkan permintaan rakyat agar dibenarkan pengeluaran kali terakhir caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di secara one-off sebanyak RM10,000 kerana rakyat benar-benar berhadapan dengan kesempitan hidup akibat pendemik Covid-19 bukan sahaja yang ditimpa dengan musibah banjir.

“Ini juga sejajar dengan ketetapan Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang bermesyuarat pada 27 Ogos 2021,” ulas beliau.