Marina Ibrahim umum tidak pertahan kerusi ADUN Skudai, undur dari politik

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi yang disandangnya dan mengambil keputusan berundur daripada arena politik.

Marina, yang merupakan antara pemimpin wanita Melayu dalam DAP, berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama insan-insan yang sentiasa berada di sisinya sepanjang perjalanan politik beliau.

“Dengan penuh rendah diri, saya, Marina Ibrahim, telah membuat keputusan untuk tidak bertanding dan berundur daripada arena politik,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Marina, beliau kini memilih untuk kembali kepada perkara yang amat dekat di hatinya sejak dahulu, iaitu berada di lapangan, menyantuni masyarakat dan meneruskan kerja-kerja kemasyarakatan.

Beliau berkata, khidmat kepada masyarakat telah menjadi sebahagian daripada kehidupannya sebelum beliau melangkah ke dunia politik.

“Empat tahun yang lalu, saya datang ke Skudai dengan satu harapan yang sederhana tetapi besar maknanya, iaitu untuk berkhidmat.

“Saya hadir bukan dengan kekuatan yang besar, bukan juga dengan pasukan yang lengkap. Namun saya hadir dengan niat yang ikhlas dan keyakinan bahawa setiap amanah perlu dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya.

Marina memenangi kerusi DUN Skudai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 atas tiket DAP, sekali gus menjadi antara wajah Melayu yang diketengahkan parti itu dalam politik Johor.

Kemenangan beliau ketika itu turut dilihat sebagai sebahagian daripada usaha DAP menampilkan kepelbagaian latar belakang dalam kepimpinan parti, khususnya melibatkan penyertaan pemimpin wanita dan Melayu.

Sepanjang menjadi ADUN, Marina sering dikaitkan dengan kerja-kerja komuniti, pendekatan lapangan dan usaha mendekati masyarakat pelbagai kaum di kawasan Skudai.

Dalam kenyataan sama, beliau memohon maaf sekiranya terdapat kekurangan atau kelemahan sepanjang menggalas amanah sebagai wakil rakyat.

“Sepanjang tempoh tersebut, saya telah berusaha sedaya upaya memberikan yang terbaik kepada masyarakat.

“Jika terdapat kekurangan, kelemahan atau perkara yang tidak memenuhi harapan sesetengah pihak, saya dengan rendah hati memohon maaf. Saya hanyalah seorang manusia yang tidak pernah terlepas daripada kekhilafan dan keterbatasan,” katanya.

Marina turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan kepercayaan, sokongan dan peluang kepadanya sepanjang memikul amanah sebagai ADUN Skudai.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pasukannya yang disifatkan tidak pernah jemu berdiri bersama dalam saat mudah mahupun sukar.

“Segala pengorbanan, kesetiaan dan persahabatan yang diberikan akan sentiasa terpahat dalam ingatan saya,” katanya.

Bagaimanapun, Marina menegaskan pengundurannya daripada politik tidak bermakna khidmatnya kepada masyarakat akan berakhir.

“Berakhirnya satu babak bukan bermakna berakhirnya khidmat. Selagi diberikan kesempatan oleh Allah SWT, saya akan terus menyumbang kepada masyarakat dalam apa jua kapasiti yang mampu saya lakukan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan akan terus komited melaksanakan tugasan di lapangan sehingga ADUN seterusnya dilantik.

Marina turut mendoakan agar Skudai terus maju dan masyarakatnya terus sejahtera.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat