Tidak Mahu Ikut Prinsip Rukun Negara Tidak Layak Digelar Warganegara – Agong

KUALA LUMPUR — Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah mana-mana individu yang tidak mahu menghayati dan mematuhi prinsip Rukun Negara tidak layak digelar sebagai warganegara Malaysia.

Memetik laporan Bernama, Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa Rukun Negara yang diperkenalkan pada 31 Ogos 1970 merupakan aku janji dan ikrar setiap rakyat Malaysia dalam membina semula perpaduan kaum serta menjamin keharmonian negara.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua pihak agar menghayati setiap prinsip Rukun Negara dan menjadikannya amalan serta garis panduan hidup sebagai rakyat Malaysia.

“Oleh yang demikian, jika ada mana-mana rakyat Malaysia yang tidak mahu mengikut prinsip Rukun Negara tersebut, saya menasihati agar dia tidak layak digelar sebagai warganegara Malaysia,” titah Baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta anggota Jemaah Menteri termasuk Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan perwakilan asing.

Menurut laporan Bernama lagi, Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa setiap rakyat perlu bersatu hati, bertolak ansur dan saling hormat-menghormati demi memastikan perpaduan negara terus kekal utuh.

Baginda turut mengingatkan semua pihak supaya mengambil iktibar daripada peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969 yang pernah menggugat kestabilan negara akibat sikap melampau dan hilangnya rasa hormat sesama masyarakat.

“Peristiwa ini telah meruntuhkan perpaduan rakyat dan menghancurkan kestabilan negara. Jangan sampai pisang berbuah dua kali,” titah Baginda.

Istiadat pengurniaan itu merupakan kali ketiga disempurnakan Sultan Ibrahim sejak Seri Paduka ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 20 Julai 2024.

Secara keseluruhan, seramai 161 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong tahun ini.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat