Baru 2 tahun bertakhta di puncak kuasa, sudah selesa bersujud kleptokrat- Wan Saiful kritik Zafrul

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Nampaknya pimpinan Bersatu ‘kurang senang’ dengan langkah politik Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang dilantik sebagai Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mengkritik Menteri Kewangan itu yang didakwanya ‘mengejar jawatan’ sehingga sujud dan bersekongkol dengan kleptokrat.

Dalam muat naik terbaru di Facebooknya yang bertajuk ‘Mengejar jawatan hinggi menzafrulkan diri’, Wan Saiful berkata, apabila Zafrul dilantik menjadi Menteri Kewangan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, negara memerlukan sepasang tangan profesional untuk mengendali hal ehwal kewangan, terutama dalam fasa permulaan krisis Covid-19 yang membawa kepada krisis ekonomi.

“Ia juga konsisten dengan sikap Muhyiddin membawa masuk orang “luar politik” seperti Dr Zulkifli Al-Bakri ke portfolio yang memerlukan kepakaran tertentu.

“Saya mengenali Zafrul sekitar 2015, tetapi tidaklah sebagai kawan rapat. Saya dan rakan-rakan mengambil pendirian yang sama dengan Muhyiddin, iaitu mempertahankan keputusan-keputusan yang dibuat oleh Zafrul kerana kita dari Bersatu inilah yang membawa dia masuk ke dunia politik. Lagipun kita berpandangan pada waktu itu bahawa Zafrul seorang yang ada pendirian,” katanya.

Wan Saiful menambah, semasa Zafrul diasak oleh pelbagai pihak terutama UMNO, kamilah (Bersatu) yang mempertahankan integriti dan kredibiliti dia.

“Tapi akhirnya daripada seorang Zafrul yang berwibawa, kuasa dan jawatan telah mengubah dirinya menjadi Zafrul yang sujud bersekongkol dengan kleptokrat. Itulah penzafrulan seorang manusia akibat kuasa dan jawatan.

“Siapa sangka Zafrul boleh senyum gembira apabila (Datuk Seri) Zahid Hamidi mengumumkan dia akan bawa “gula” kepada UMNO. Siapa sangka Zafrul boleh tersengih apabila Ismail Sabri mengumumkan dia akan bawa “minyak” kepada UMNO.

“Siapa sangka Zafrul boleh buat muka toya apabila (Datuk Seri) Mohamad Hasan mengatakan bahawa 1MDB ialah isu tidak penting lagi. Banggakah Zafrul dengan pengumuman bahawa dia akan dikeldaikan untuk membawa minyak dan gula kepada UMNO? Dan ia menjadi semakin teruk,” dakwa Wan Saiful.

Malah katanya, siapa sangka Zafrul complicit dalam mensucikan imej Zahid dengan cara membiarkan dua agensi di bawah Kementerian Kewangan (MOF), iaitu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kastam, bercakap dalam majlis yang sama dengan Zahid di “Malaysia Tax Policy Forum”.

” Ini strategi mensucikan diri yang sama dengan (Datuk Seri) Najib Razak.

“Tidak cukup dengan itu, Zafrul mula cuba melunakkan pandangan rakyat terhadap rompakan yang dilakukan oleh Najib Razak. Media melaporkan “Dewan Rakyat dimaklumkan hutang syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd dan Suria Synergy Energy Recources Sdn Bhd (SSER) tidak meningkatkan jumlah hutang kerajaan secara langsung.” Wah…. baru beberapa hari ambil jawatan parti, sudah beri spin positif nampaknya.

“Baru dua tahun bertakhta di puncak kuasa, sudah selesa mencium dan bersujud kepada kleptokrat. Dua tahun saja, sudah lupa mengenai integriti dan kredibiliti.

“Itu kita belum lagi masuk kepada adab sebagai seorang manusia,” dakwa Wan Saiful.

Menurut beliau, Zafrul diberi karpet merah oleh Muhyiddin untuk terus ke puncak kuasa.

” Zafrul jutawan yang tidak perlu berjuang. Bangsawan yang tidak perlu berkorban. Seorang elit “Bangsar bubble” yang diangkat tanpa perlu melalui proses yang dilalui oleh orang lain.

“Tapi adakah Zafrul tahu adab sopan kepada satu-satunya individu yang meletakkan dia di situ? Tidak. Sebut tidak, bincang lagi lah tidak. Adab Melayu diketepikan demi mahu mengekalkan jawatan dan kedudukan. Rupanya apabila bangsawan sujud kepada kleptokrat, yang terhasil ialah biadab.

“Itulah dia penzafrulan seorang manusia. Itulah kesan kuasa dan jawatan kepada seseorang individu jika individu itu tidak dipandu oleh prinsip dan adab. Terlupa mengenai jeleknya kleptokrasi. Terlupa mengenai integriti. Terlupa mengenai budi. Tanpa prinsip dan adab, dia dikelabukan oleh jawatan dan kekayaan sehingga sanggup jadi keldai UMNO.

“Ini adalah tazkirah kepada kita semua. Jika kita ada sekelumit rasa mahu berjuang untuk rakyat dan negara, berdoalah agar kita berjuang demi prinsip, dan dengan cara yang beradab, agar kita tidak dizafrulkan sekiranya mendapat kuasa dan kedudukan,” katanya lagi.

Sebelum ini, Dewan Rakyat dimaklumkan hutang syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd dan Suria Synergy Energy Recources Sdn Bhd (SSER) tidak meningkatkan jumlah hutang kerajaan secara langsung.

Hutang kerajaan kini berjumlah RM1.045 trilion atau 63.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Bagaimanapun, Menteri Kewangan berkata, 1MDB, SRC dan SSER adalah entiti yang menerima jaminan kerajaan di bawah Akta Jaminan Pinjaman (Pertubuhan Perbadanan) 1965 atau Seksyen 14 Akta Tatacara Kewangan.

“Oleh itu, entiti ini akan memberikan pendedahan risiko liabiliti luar jangka kepada kerajaan selagi komitmen hutang entiti berkenaan masih belum selesai.

“Selain itu, entiti ini juga dikategorikan sebagai komitmen jaminan kerana menerima peruntukan kewangan daripada kerajaan bagi membantu dalam bayaran komitmen hutang,” katanya dalam jawapan lisan bagi menjawab Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur).

Wong bertanya jumlah hutang negara setakat kini dan bagaimana hutang atau jaminan 1MDB, SRC dan SSER sudah menyumbang kepada hutang negara yang tinggi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat