JOHOR BAHRU – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyeru parti-parti yang lahir daripada perpecahan UMNO agar kembali bersatu di bawah payung perjuangan asal demi masa depan orang Melayu dan kestabilan politik negara.
Beliau berkata, UMNO sentiasa membuka pintu kepada mana-mana pihak yang benar-benar ikhlas mahu kembali bersama perjuangan parti itu.
Menurutnya, seruan penyatuan yang kedengaran kebelakangan ini perlu diterjemahkan melalui tindakan dan bukannya sekadar retorik menjelang pilihan raya.
“Hari ini parti yang menjadi serpihan kepada UMNO telah mula bercakap mengenai penyatuan.
“Mereka datang hanya ketika pilihan raya, hanya selepas tiang pondok mereka dimakan anai-anai, atap mereka mulai bocor dan dinding rumah mereka mulai reput,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri Johor di sini, hari ini.
Tanpa menamakan mana-mana parti secara khusus, Ahmad Zahid dipercayai merujuk kepada beberapa parti yang ditubuhkan oleh bekas pemimpin UMNO selepas meninggalkan parti tersebut.
Bagaimanapun, beliau menegaskan UMNO tidak menutup pintu kepada usaha penyatuan sekiranya ia dilakukan dengan niat yang tulus.
“Kalau benar ikhlas mahu bersatu, buka pintu rumah bangsa ini dengan seluas-luasnya.
“Insya-Allah yang sudah-sudah itu sudah, hidup lalu, kiambang bertaut,” katanya.
Dalam ucapan sama, Ahmad Zahid menyifatkan Johor sebagai rahim perjuangan UMNO dan negeri yang mempunyai kedudukan istimewa dalam sejarah penubuhan parti itu.
Beliau berkata, sejarah perjuangan bangsa yang bermula di Johor tidak boleh dipisahkan daripada perjalanan UMNO dan pembentukan negara Malaysia.
Menurutnya, UMNO dan BN akan terus mempertahankan prinsip perjuangan parti termasuk menjunjung institusi Raja-Raja Melayu dan mematuhi Perlembagaan.
Kenyataan Ahmad Zahid itu dilihat sebagai isyarat bahawa UMNO bersedia menerima semula mana-mana bekas ahli atau pemimpin yang mahu kembali menyertai parti, ketika landskap politik negara terus mengalami perubahan menjelang beberapa pilihan raya negeri yang bakal berlangsung.-SuaraTV


