Salah guna dadah masih berleluasa, tapi kenapa tiga pasukan khas polis dimansuh? – MP Tampin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pindaan ke atas Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 berdepan cabaran besar untuk dilaksanakan secara berkesan sekiranya tidak diimbangi langkah pencegahan dan penguatkuasaan yang tegas.

Merujuk kelemahan sedia ada, Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) menyuarakan kebimbangan susulan kesedaran dalam kalangan generasi muda yang lemah, ditambah dengan bahan terlarang itu mudah didapati di pasaran.

Beliau turut mempersoalkan mengapa tiga pasukan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), satu daripadanya Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) yang sebelum ini membanteras dadah secara besar-besaran dimansuhkan.

“Lima tahun lalu, tiga pasukan khas PDRM telah dimansuhkan iaitu Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG), Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) dan STING.

“STING sebelum ini memainkan peranan besar memerangi ketua dadah terancang dan sindiket dadah tempatan dan antarabangsa.

“Saya nak tahu kenapa ia dimansuhkan sedangkan masalah penyalahgunaan dadah masih berleluasa hingga sekarang,” katanya pada sesi perbahasan RUU berkenaan di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Sehubungan itu, Mohd Isam turut mencadangkan supaya STING diwujudkan semula mengambil kira keperluan besar bagi memerangi dadah di negara ini, sekali gus mampu mengimbangi pindaan RUU yang antara lain bertujuan memberi peluang kepada golongan penagih yang telah mendapat kesedaran untuk menawarkan diri menerima rawatan dan pemulihan secara sukarela, lapor BH.

Selain itu, RUU sama membolehkan individu yang terbabit dengan najis dadah perlu didekati sebagai klien atau pesakit, bukannya kumpulan penagih yang ditahan di penjara.

Sementara itu, Datuk Mas ErmieyatiSamsudin (PN-Masjid Tanah) mencadangkan supaya pindaan itu ditangguhkan supaya dapat diadakan siri libat urus khususnya bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang banyak terbabit dalam pencegahan dan pemulihan penagih dadah.

“Bila buat satu pindaan yang cukup besar impaknya (sepatutnya) diadakan sesi libat urus. Ini NGO nak jumpa pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pun seolah mereka yang terhegeh-hegeh.

“Ini kita tak boleh terima. Sepatutnya sebelum buat apa-apa pindaan mesti ada libat urus dengan semua pihak yang berkaitan supaya mereka dapat beri idea dan pandangan yang baik… apatah lagi mereka ini terbabit secara aktif dalam rawatan penagihan, jadi tentunya perlu dilibatkan,” katanya.

Sehubungan itu, Mas Ermieyati mempersoal justifikasi kerajaan membuat pindaan itu tanpa melaksanakan sesi libat urus secara menyeluruh dengan semua pemegang taruh yang berkaitan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat