KUALA LUMPUR – Penasihat Politik kepada Presiden Bersatu, Datuk Dr. Marzuki Mohamad mendakwa usaha menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) antara PAS dan UMNO merupakan faktor utama yang membawa kepada perpisahan PAS dan Bersatu, bukannya kerana sikap Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti didakwa oleh 13 Ahli Parlimen Bersatu.
Menerusi hantaran di Facebook pada Khamis, Marzuki berkata dakwaan bahawa Muhyiddin bersikap sombong sehingga menyebabkan PAS memutuskan hubungan dengan Bersatu tidak disertakan dengan penjelasan mengenai bentuk kesombongan yang dimaksudkan.
“13 Ahli Parlimen Bersatu mendakwa sikap sombong Tan Sri Muhyiddin menjadi sebab PAS memutuskan hubungan dengan Bersatu.
“Apa yang sombong tidak diberitahu. Jadi, tak bolehlah saya ulas perihal sombong tersebut,” katanya.
Menurut beliau, pelbagai isu yang sering dikaitkan dengan konflik antara PAS dan Bersatu seperti pertukaran Menteri Besar Perlis, isu akuan bersumpah (SD) di Negeri Sembilan, dakwaan kekurangan jentera pilihan raya serta pemecatan kumpulan RESET sebenarnya boleh diselesaikan sekiranya kedua-dua pihak melihat penyelesaian itu membawa keuntungan politik.
Katanya, dalam politik, parti-parti akan membuat keputusan berdasarkan pertimbangan untung dan rugi.
“Jika isu-isu ini memberikan keuntungan politik apabila dapat diselesaikan, maka apa jua jalan dan kaedah akan dicari untuk menyelesaikannya.
“Tetapi jika ada jalan lain yang difikirkan lebih menguntungkan, buat apa menyelesaikan masalah yang tidak membawa keuntungan?” katanya.
Marzuki berpandangan perpisahan PAS dan Bersatu menjadi sesuatu yang tidak dapat dielakkan apabila PAS mula menggerakkan semula agenda Muafakat Nasional 2.0 bersama UMNO.
Beliau mendakwa perkara sama pernah berlaku ketika usaha pembentukan Muafakat Nasional sebelum ini apabila UMNO meletakkan syarat supaya PAS memutuskan hubungan dengan Bersatu.
“Kenapa syaratnya mesti menyisihkan Bersatu? Jawapannya mudah sahaja. Kerusi.
“UMNO mahu bertanding di kerusi-kerusi milik Bersatu dan tidak mahu melihat pengaruh Bersatu berkembang kerana kedua-dua parti bersaing merebut segmen pengundi yang sama,” katanya.
Menurut Marzuki, dalam konteks itu Bersatu menjadi pihak yang perlu dikorbankan bagi membolehkan hubungan PAS dan UMNO dipulihkan.
“Bersatu bukan menjadi penghalang kepada penyatuan Melayu.
“Bersatu adalah penghalang kepada perkahwinan semula PAS dan UMNO,” katanya.
Beliau turut mempertahankan karakter Muhyiddin yang didakwa sesetengah pihak sebagai sombong.
Katanya, Presiden Bersatu itu sejak dahulu dikenali sebagai seorang pemimpin yang tegas dan tidak mudah mengalah, bukannya berubah sikap secara tiba-tiba sehingga menyebabkan keretakan hubungan politik.
Dalam masa sama, Marzuki turut membayangkan kemungkinan wujud permainan politik peringkat tinggi yang sedang berlaku di sebalik perkembangan mutakhir politik pembangkang.
Beliau mendakwa beberapa perkembangan termasuk Langkah Bangkok, isu SD di Negeri Sembilan serta keputusan Barisan Nasional bertanding secara solo di Johor berlaku dalam pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada terdapat pihak tertentu yang sedang meyakinkan Anwar bahawa perpecahan dalam Perikatan Nasional akan memberi keuntungan politik kepada kerajaan.
“PN sedang berpecah.
“Jika Bersatu tunduk kepada desakan 13 Ahli Parlimen yang menggesa Bersatu supaya keluar PN, hampir separuh sokongan kepada PN dalam pilihan raya akan hilang,” katanya.
Marzuki juga mendakwa UMNO masih mempunyai pilihan politik kerana kekal dalam Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan, sedangkan PAS kini tidak lagi mempunyai ruang yang sama selepas memutuskan hubungan dengan Bersatu.
Beliau bagaimanapun mengakui pandangan yang dikemukakannya itu hanyalah berdasarkan tafsiran peribadi terhadap perkembangan politik semasa.
“Akhirnya, 13 Ahli Parlimen yang menuduh Muhyiddin sombong ini sedang menjadi bidak-bidak di papan catur.
“Mereka sedang digerakkan ke hulu ke hilir oleh sang pencatur untuk kepentingan orang lain,” katanya.



