Bekas AG Sepatutnya Tulis Secara Ilmiah, Bukannya Setaraf Komik – Peguam

- Advertisement -

CYBERJAYA – Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, melalui penerbitan bukunya bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ yang telah membuat beberapa dakwaan yang dianggap tidak selaras dengan kewajipan kerahsiaan/keyakinannya (‘duty of confidentiality’) sebagai seorang yang pernah memegang jawatan sebagai Peguam Negara (AG), kata peguam Aizat Azam.

Aizat yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO berkata secara asasnya, Tommy mempunyai kewajipan berperlembagaan (‘constitutional duty’) untuk menasihati Yang di Pertuan Agong (YDPA) dan juga Kabinet dalam urusan-urusan/isu-isu perundangan yang melibatkan urusan pemerintahan (‘governance’) Negara kita yang mana dengan jelasnya diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kewajipan ini semestinya termasuk kewajipan kerahsiaan pada semua masa bukan sahaja apabila beliau memegang jawatan sebagai Peguam Negara tetapi juga termasuk selepas beliau meletakkan jawatan.

“Tommy harus sedar bahawa secara konvensyennya juga, sebarang urusan pentadbiran tidak akan didedahkan kepada orang ramai selepas peletakan jawatan melainkan sekiranya ia adalah berkenaan dengan tindakan-tindakan yang menyalahi undang-undang.

“Namun begitu, Tommy dalam buku tersebut telahpun membuat dakwaan-dakwaan tentang urusan pemerintahan (‘government affairs’) yang kononnya berlaku semasa beliau menjalankan tugasnya sebagai Peguam Negara.

“Urusan pemerintahan ini adalah urusan yang sepatutnya menjadi rahsia rasmi yang tidak seharusnya didedahkan kepada orang awam (walaupun ianya benar sekalipun, yang mana adalah dinafikan),” kata pengamal undang-undang itu lagi.

Justeru itu, Aizat mempersoalkan apakah motif Tommy Thomas dalam membuat dakwaan-dakwaan sedemikian hanya selepas beliau meletakkan jawatan.

“Sekiranya dakwaan-dakwaan tersebut (berkenaan urusan pemerintahan) adalah benar, yang mana adalah dinafikan, dan beliau amat tidak berpuas hati dengan urusan pemerintahan yang didakwa tersebut, beliau sepatutnya meletakkan jawatan beliau dengan segera (‘immediately’) dan bukannya meletakkan jawatan hanya apabila mengetahui bahawa Kerajaan Pakatan Harapan telah jatuh.

“Tommy juga perlu ingat bahawa beliau mesti melaksanakan tugasnya sebagai Peguam Negara tanpa apa-apa unsur campur tangan badan Eksekutif. Beliau tidak tertakluk kepada nasihat atau keputusan mana-mana pihak termasuk Perdana Menteri dalam melaksanakan tugasnya sebagai Peguam Negara,” ujarnya.

Menurut Aizat lagi, Tommy telah gagal memastikan campur tangan badan Eksekutif dalam perlaksanaan tanggungjawabnya sepertimana yang boleh dilihat dalam dakwaan beliau (di dalam buku tersebut) berkenaan isu Zakir Naik.

“Di dalam buku tersebut, Tommy telah mendakwa bahawa terdapat campur tangan Tun Dr Mahathir dalam isu Zakir Naik di mana nasihat Tommy kepada Tun berkenaan dengan prosiding ekstradisi dan pengusiran (‘expulsion’) Zakir Naik tidak diterima dan telah ditolak oleh Tun pada masa itu.

“Pertamanya, Tommy tidak perlu mendapatkan nasihat atau kebenaran Tun sekiranya Tommy benar-benar ingin meneruskan dengan proses ‘expulsion’ Zakir Naik daripada Negara kita dan beliau boleh terus menjalankan proses tersebut. Namun, ini tidak dilakukan.

“Keduanya, sekiranya Tommy berpandangan bahawa Zakir Naik mesti dan wajar diusir keluar daripada Negara kita dan nasihat beliau kepada Tun Dr. Mahathir bagi tujuan tersebut mesti dan wajar diterima oleh Tun, Tommy sepatutnya memegang kepada prinsipnya dan meletakkan jawatannya sejurus Tun menolak nasihatnya,” katanya.

Namun jelas Aizat lagi, ini tidak dilakukan Tommy walaupun beliau mendakwa bahawa terdapat campur tangan daripada Tun seperti yang dinyatakan, yang mana juga menimbulkan banyak persoalan berkenaan kebenaran, ketelusan serta kesahihan dakwaannya.

“Saya perlu juga menyatakan di sini bahawa dakwaan beliau berkenaan, antara lainnya, kecekapan pegawai undang-undang di Jabatan Peguam Negara juga adalah amat serius dan beliau perlu memohon maaf bagi membuat dakwaan yang tidak berasas tersebut.

“Tommy tidak seharusnya lupa bahawa beliau, sebagai Peguam Negara, mesti berpegang kepada prinsip bertanggungjawab bersama (‘collective responsibility’) kepada Jabatan Peguam Negara dan bukannya bertindak dengan membuat dakwaan sebegitu.

“Sebagai Ketua, beliau seharusnya memimpin dan mendidik pegawai-pegawai di bawahnya dan bukannya bertindak dengan cara menghina mereka sebegini. Tindakan Tommy dalam membuat dakwaan sebegitu merupakan satu penghinaan kepada dirinya sendiri sebagai Ketua yang memimpin pegawai undang-undang di bawah pentadbiran beliau pada masa tersebut,” jelasnya.

Sehubungan dengan itu, Aizat menggesa supaya Tommy Thomas memberikan penjelasan terhadap persoalan yang telah dibangkitkan dan beliau seharusnya memohon maaf bagi segala dakwaan yang dibuat yang mana telahpun menyebabkan kredibiliti pentadbiran Negara kita dipandang rendah atau hina oleh masyarakat Malaysia dan juga komuniti antarabangsa.

“Tommy Thomas sebagai bekas Peguam Negara sepatutnya perlu menulis dengan lebih ilmiah dan bukan bertaraf komik atau satira politik semata-mata, yang mungkin dengan tujuan untuk mencari publisiti murahan bagi menutup segala kelemahan semasa menjadi Peguam Negara,” ujarnya sinis.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat