JERANTUT – Penyandang kerusi Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris, 64, mengesahkan tidak bertanding mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, keputusan itu diambil bagi memberi peluang kepada muka baharu dalam UMNO sebagai calon mewakili Barisan Nasional (BN).

Jelasnya lagi, beliau sudah bertemu dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengenai hasratnya itu.

“Sudah sampai masanya saya mengundur diri kerana sudah dua penggal menjadi Ahli Parlimen Jerantut dan saya rasa inilah masa tepat bagi memberi peluang kepada pemimpin pelapis pula.

“UMNO tidak ketandusan pemimpin muda dan lebih bertenaga. Mereka harus diberi peluang untuk berkhidmat kepada rakyat pula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Bahagian Jerantut di Dewan Majlis Daerah Jerantut yang dilancarkan oleh Ketua UMNO Bahagian Jerantut Datuk Nazri Ngah, di sini pada Ahad.

Ahmad Nazlan berkata, pada masa ini UMNO perlu kepada pemimpin baharu serta anak tempatan yang lebih bertenaga kerana mereka mempunyai pelbagai idea untuk membangunkan Jerantut.

“Kita beri peluang kepada golongan muda yang lebih bertenaga untuk diangkat sebagai calon.

“Saya lihat ramai calon muda UMNO yang berkaliber dan bersedia untuk dicalonkan bertanding di kerusi Parlimen untuk meneruskan perkhidmatan memajukan daerah ini,” katanya.

Ujarnya, beliau berharap calon baharu yang terpilih nanti dapat bekerja keras dan beliau sendiri sedia membantu calon terbabit untuk memenangi PRU15.

“BN dijangka menerima tentangan hebat calon Perikatan Nasional ( PN) dan Pakatan Harapan (PH), jadi saya bersedia membantu calon untuk sama-sama berkempen nanti, ” katanya.

Ahmad Nazlan yang lebih dikenali sebagai ‘ Cikgu Lan’ di kalangan penduduk tempatan turut berharap calon yang dipilih adalah seorang yang bertanggungjawab serta dapat memberi perkhidmatan yang terbaik dan cemerlang.

Beliau berkata, sewajarnya calon baharu adalah anak tempatan yang berkelayakan dan tahu keperluan dan kemahuan penduduk di daerah ini kerana calon luar amat sukar menyelami denyut nadi pengundi dan keperluan mereka.

“Kalau sekali sekala sahaja pulang menjenguk ‘kampung’ akan menjadi masalah kepada pengundi untuk meluahkan masalah kerana ada perkara atau isu yang perlu ditangani segera,” ujarnya.

Ahmad Nazlan memenangi kerusi Parlimen itu pada PRU13 dengan majoriti 4,532 undi, apabila mendapat 26,544 undi mengalahkan calon Pas, Dr Hamzah Jaafar (22,012).

Beliau sekali lagi memenangi kerusi Parlimen itu pada PRU14 dengan majoriti 5,908 undi, apabila memperoleh 22,640 undi mengalahkan calon Pas Yohanis Ahmad (16,732) dan calon PKR, Wan Mohd Shaharir Wan Adul Jalil (10,877). – Awani