SEREMBAN – Pengkaji Adat Perpatih, Nordanial Hamzah mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang masih mempertikaikan pemasyhuran Yang Teramat Mulia (YTM) Undang Luak Rembau ke-22, Dato’ Sedia Raja Dato’ Haji Abdul Rahim Yassin.
Beliau berkata, pemasyhuran Abdul Rahim sebagai Undang Luak Rembau ke-22 bukan sahaja dilaksanakan melalui istiadat adat, malah turut disiarkan dalam portal rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Macam mana pula ada yang mempersoalkan pemasyhuran, terutama penyokong kerajaan, sedangkan Portal MKN juga berkongsi siarkan pemasyhuran YTM Undang Luak Rembau ke-22, Dato’ Sedia Raja Dato’ Haji Abdul Rahim bin Haji Yasin,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Nordanial turut membangkitkan persoalan berhubung penggunaan nama Abdul Rahim dalam surat yang didakwa ditandatangani Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU).
“Bagaimana juga surat tandatangan SU DKU ditulis hanya Haji Abdul Rahim bin Haji Yasin, tanpa gelaran YTM?” katanya.
Menurut beliau, latar belakang Abdul Rahim juga bukan calang-calang kerana tokoh adat itu mempunyai pengalaman panjang dalam institusi adat, pendidikan dan pentadbiran tempatan.
Memetik laporan sama, Abdul Rahim pernah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Daerah Rembau 2015 dan Tokoh Guru Daerah Rembau pada 2016, selain dilantik sebagai Ahli Majlis Daerah Rembau sejak 2017 hingga kini.
Pada 23 Ogos 2024, Abdul Rahim dimasyhurkan sebagai Undang Luak Rembau ke-22 dalam Istiadat Pemasyhuran di Balai Undang Luak Rembau.
Istiadat itu dimulakan dengan acara pengumuman, diikuti tembakan meriam dan Istiadat Menjemput sebelum Lagu Luak Rembau dimainkan.
Majlis kemudian diteruskan dengan penyerahan Keris Pesaka kepada Abdul Rahim, Istiadat Menjunjung Kasih, lafaz ikrar serta bacaan doa yang dipimpin Timbalan Mufti Negeri Sembilan, Amran Awaludin.
Dalam ucapannya ketika istiadat tersebut, Abdul Rahim mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Pemilihan yang dipengerusikan Datuk Perba Abdul Razak Mohd Yassin kerana berjaya melaksanakan Proses Pemilihan Pesaka Undang Luak Rembau mengikut tatacara.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Abdul Razak, Pegawai Daerah Rembau Mohd Zamri Mohd Esa yang mempengerusikan istiadat berkenaan serta semua pihak yang hadir sebagai tanda sokongan terhadap beliau dan institusi adat di Luak Rembau.
Pemilihan Undang Luak Rembau diadakan bagi menggantikan Datuk Lela Maharaja Datuk Muhamad Sharip Othman, 83, yang meninggal dunia akibat sakit tua pada 15 Mei 2024.
Mengikut sistem Adat Perpatih, pemilihan Undang di Negeri Sembilan perlu dibuat daripada calon-calon Suku Biduanda selaku suku asal di negeri ini, yang mempunyai 12 suku dalam struktur adat tersebut.
Abdul Rahim, 68, yang dilahirkan di Rembau, merupakan Orang Besar Undang Yang Empat bergelar Datuk Shahbandar mulai Februari 1999 dalam Institusi Undang Luak Rembau.
Beliau juga berpengalaman sebagai guru di beberapa sekolah di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, selain pernah memegang jawatan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Rembau sebelum bersara pada 2014.


