Tabung Haji masih kekal sifat asal meski di bawah seliaan BNM – Tengku Zafrul

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Sifat asal Lembaga Tabung Haji (TH) tidak akan berubah meskipun kini di bawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM),” Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

Kata beliau, seliaan BNM adalah satu penyelesaian interim yang tidak akan mengubah sifat asal TH sebagai agensi unggul khususnya dalam pengurusan jemaah haji bagi menunaikan rukun Islam kelima.

Tengku Zafrul berkata, TH tetap kekal melaksanakan fungsi Lembaga Tabung Haji sebagaimana termaktub di bawah Akta Tabung Haji 1995. Selain itu, hal ehwal haji masih kekal di bawah tanggungjawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

“Dari sudut TH pula, Lembaga Pengarah dan badan pengurusannya tetap mempunyai tanggungjawab utama dalam menentukan hala tuju TH, serta pengurusan dan operasi haji,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Amiruddin Hamzah (Pejuang-Kubang Pasu) di Dewan Rakyat, pada Rabu.

Beliau memberitahu, usaha kawal selia TH dari sudut pengambilan deposit, serta pengurusan risiko dan kecairan oleh BNM adalah satu solusi interim yang akan dilaksanakan hingga dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dibentangkan untuk pertimbangan Kerajaan selanjutnya.

Tengku Zafrul berkata, penambahbaikan kawal selia TH adalah selaras dengan hasrat Kerajaan supaya TH kembali kepada mandat asal penubuhannya. Kementerian Kewangan (MOF) sedia maklum akan perbezaan mandat dan peranan TH berbanding institusi perbankan yang lain.

Justeru ujar beliau, MOF ingin menegaskan bahawa skop pengawalseliaan BNM pada waktu ini, sementara menunggu selesainya RCI, adalah tertumpu hanya kepada pengambilan deposit, serta pengurusan risiko dan kecairan, dengan rangka kerja pengawalseliaan yang berbeza dari peraturan am yang dipatuhi oleh institusi perbankan lain.

BNM mempunyai Majlis Penasihat Syariah yang dianggotai oleh para cendekiawan Syariah dan individu yang berpengetahuan, berpengalaman dan turut diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Dengan memanfaatkan kepakaran majlis ini, persepsi berhubung konsep riba bagi meraih pulangan yang terbaik dari pelbagai pelaburan untuk manfaat pendeposit, tidak akan timbul sama sekali.

Semua usaha ini adalah bertujuan untuk terus melindungi hak pendeposit dan memastikan segala pelaburan yang dibuat oleh TH adalah berlandaskan prinsip Syariah.

Kawal selia sesebuah institusi yang strategik dan menyentuh hak rakyat adalah penting di atas prinsip semak dan imbang, serta tadbir urus yang berhemah, selaras dengan ketetapan oleh Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah.

Prinsip ini bukanlah sesuatu yang baharu dan telah diguna pakai secara meluas di Malaysia. Contohnya, Bank Simpanan Nasional dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad yang mempunyai akta tubuh masing-masing, serta anak syarikat TH sendiri iaitu Bank Islam, yang kesemuanya masih di bawah kawal selia BNM berdasarkan kepentingan sistemik mereka.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat