Hentikan diskriminasi tak wajar terhadap minyak sawit – Johari beritahu EU

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Ghani menggesa Kesatuan Eropah (EU) agar menghentikan “diskriminasi tidak wajar dan berwenang” terhadap minyak sawit.

“Minyak sawit ialah tanaman biji minyak yang paling produktif,” katanya dalam ulasan yang diterbitkan dalam Majalah The Parliament EU semalam.

Johari berkata, hasil minyak sawit pada masa ini berpurata 3.31 tan metrik sehektar (MT/ha), jauh lebih tinggi daripada kacang soya (0.43 MT/ha); biji sesawi (0.78 MT/ha); dan bunga matahari (0.76 MT/ha).

“Ini bermakna ia menggunakan lebih sedikit tanah, baja dan input lain,” katanya.

Tambahnya, minyak sawit Malaysia mampu bersaing sengit dalam pasaran saksama dengan menawarkan harga lebih rendah dan menjamin kualiti tinggi bagi pengguna global.

Johari juga menyeru EU agar bertindak adil dalam penguatkuasaan dan sasaran undang-undang alam sekitar dan kelestariannya yang ketat.

Mengakui keperluan menyokong usaha global untuk melindungi alam sekitar, Johari menegaskan komitmen Malaysia untuk mencapai sasaran Sifar Bersih dan semua matlamat alam sekitar yang berkaitan.

“Kami akan mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada tanah kami sebagai kawasan hutan (purata global ialah 31 peratus); memperkenalkan undang-undang pensijilan mandatori baharu seperti standard Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO); dan memberikan komitmen serius terhadap pelan peralihan tenaga untuk mencapai pelepasan (karbon) Sifar Bersih menjelang 2050,” menurutnya.

Bagaimanapun, Johari berkata, kejayaan Malaysia mencapai sasaran tersebut turut bergantung kepada tindakan rakan dagangannya.

EU mesti membalas usaha ini dengan mengamalkan kesaksamaan dan memberikan sokongan sewajarnya dalam suatu “tempoh peralihan yang sukar” bagi negara membangun seperti Malaysia, katanya.

Johari berkata, rakyat Malaysia telah mengorak langkah besar ke arah perlindungan alam sekitar yang lebih baik, tetapi juga prihatin terhadap keselamatan dan kemakmuran keluarga dan masyarakat.

“Bagi kebanyakan orang, kemajuan (dari segi alam sekitar) agak baharu, dan agak rapuh,” katanya.

Atas sebab itu, kata Johari, Malaysia mesti dibenarkan mencapai sasaran ekonominya agar kesejahteraan sosial dan kewangan semua rakyatnya terjamin.

Johari juga berkata, EU mempunyai peranan besar dalam perkara ini.

Walaupun MSPO memastikan Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk memenuhi keperluan kebolehkesanan alam sekitar EU, Johari berkata, pertimbangan juga perlu diberikan bagi 450,000 pekebun kecil yang terlibat dalam penanaman kelapa sawit.

“Mereka tidak mempunyai kecanggihan teknologi seperti yang dituntut oleh peraturan EU, dan memerlukan lebih banyak masa dan kelonggaran,” katanya.

“Jika EU berhasrat mendukung negara membangun bersama-sama dalam perjalanan Sifar Bersih, ia tidak seharusnya menafikan keupayaan pekebun kecil untuk menampung kehidupan keluarga dan masyarakat mereka.”

Johari juga menggesa EU agar memberikan penghormatan dan pengiktirafan sewajarnya terhadap kemajuan yang telah dicapai Malaysia setakat ini.

“EU boleh menyokong Malaysia dengan mengiktiraf nilai dibawa MSPO, serta nilai yang diberikan oleh Malaysia kepada dunia dengan melindungi 50 peratus tanahnya sebagai kawasan hutan kekal,” katanya.

Menteri itu berkata, komitmen Malaysia untuk melindungi ekosistem tropika, biokepelbagaian dan penyerapan CO2 ialah “usaha yang layak mendapat sokongan dan pengiktirafan”.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat