Bursa Malaysia ditutup rendah selepas enam hari catat kenaikan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia mengakhiri peningkatan enam hari berturut-turutnya dengan ditutup rendah hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung saham berkaitan komoditi dan perjudian, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.23 mata kepada 1,569.25 daripada 1,571.48 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran itu yang dibuka 1.81 mata lebih baik pada 1,573.29, bergerak antara paras 1,569.03 dan 1,574.45 sepanjang sesi dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 581 daripada 443, manakala 535 kaunter tidak berubah, 807 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 3.96 bilion unit bernilai RM2.83 bilion daripada 4.25 bilion unit bernilai RM3.03 bilion pada Rabu.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks serantau utama juga kebanyakannya lebih rendah berikutan prestasi bercampur-campur di Wall Street, yang dilanda penurunan saham berkaitan teknologi.

Beliau berkata pelabur kini menggunakan pendekatan tunggu dan lihat menjelang musim pengumuman pendapatan firma-firma global.

Di peringkat tempatan, Thong menyifatkan penjualan hari ini membolehkan pasaran menyerap aliran menaik baru-baru ini, membuka peluang pengumpulan saham pada harga rendah.

“Kami berpandangan bahawa jika indeks penanda aras mampu secara konsisten kekal di atas paras 1,570 untuk tempoh yang lebih lama, terdapat peluang lebih tinggi untuk peningkatan selanjutnya. Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI akan berada dalam aliran julat 1,565-1,575 ke arah hujung minggu,” katanya kepada Bernama.

Ketua Penyelidikan dan Penasihat Kekayaan serta Pengurus Portfolio UOB Kay Hian Mohd Sedek Jantan berkata walaupun berlaku penurunan kecil hari ini dalam FBM KLCI selepas mencecah paras tertinggi dua tahun semalam, sentimen pasaran telah menunjukkan daya tahan yang ketara.

“Indeks itu, yang mencecah paras tertinggi intra hari pada 1,574.45 hari ini, mengalami penyusutan yang sederhana, namun ini memperlihatkan kekuatan pasaran kami ketika ini,” katanya.

Antara saham wajaran tinggi, CIMB menokok 1.0 sen kepada RM6.68, Maybank dan Public Bank turun 2.0 sen masing-masing kepada RM9.78 dan RM4.23, Petronas Chemicals susut 12.0 sen kepada RM6.76, manakala Tenaga Nasional tidak berubah pada RM11.86.

Bagi saham aktif, Berjaya Corporation naik 1.0 sen kepada 29.5 sen, Fitters Diversified menokok setengah sen kepada 5.0 sen, InGenieur Gudang turun 1.5 sen kepada 11.5 sen, Ekovest susut 1.0 sen kepada 45 sen, manakala Sapura Energy tidak berubah pada 4.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas jatuh 19.51 mata kepada 11,780.98, Indeks FBM 70 susut 27.01 mata kepada 16,355.30 dan Indeks FBMT 100 susut 16.91 mata kepada 11,418.47, Indeks FBM Emas Syariah turun 23.50 mata kepada 11,951.37, dan Indeks FBM ACE turun 51.80 mata kepada 5,015.01.

Dari segi sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.24 mata kepada 186.56, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 22.11 mata kepada 17,363.95, Indeks Tenaga merosot 2.40 mata kepada 971.40, dan Indeks Perladangan susut 7.49 mata kepada 7,426.05.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.48 bilion unit bernilai RM2.51 bilion berbanding 2.41 bilion unit bernilai RM2.63 bilion pada hari Rabu.

Jumlah dagangan waran susut kepada 977.13 juta unit bernilai RM141.19 juta berbanding 1.21 bilion unit bernilai RM170.48 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 501.52 juta saham bernilai RM177.04 juta daripada 629.57 juta saham bernilai RM231.37 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 495.78 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (583.40 juta), pembinaan (266.24 juta), teknologi (255.86 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (92.72 juta), hartanah (258.08 juta), perladangan (27.71 juta), REIT (22.97 juta), dana tertutup (59,000), tenaga (257.90 juta), penjagaan kesihatan (43.66 juta), telekomunikasi dan media (47.12 juta), pengangkutan dan logistik (43.03 juta). ), utiliti (84.84 juta), dan amanah perniagaan (4.15 juta). – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat