Puteri Saadong bakal difilemkan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS) mengemukakan usul mengangkat kisah legenda, Puteri Saadong yang menggambarkan kebijaksanaan dan keberanian wanita Melayu dalam sejarah Kelantan dan Pattani, ke layar perak, melalui projek usaha sama dengan studio perfileman Thailand.

Cadangan itu diutarakan pada pertemuan bersama tiga syarikat gergasi perfileman Thailand iaitu Gross Domestic Happiness (GDH) Studio, Blue River Films dan M Pictures pada lawatan kerja diketuai Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa ke Bangkok, Thailand, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim, berkata Annuar mencadangkan kepada GDH Studio agar kisah Puteri Saadong difilemkan melalui projek kerjasama dua negara.

“Biarpun ditawarkan kepada GDH Studio, Blue River Films nampaknya lebih berminat untuk menjayakannya.

“Selain itu, Blue River Films menyatakan hasrat untuk mengusulkan kepada produksi filem The Expendables 5 untuk menjayakan penggambarannya di Malaysia kerana mereka ada kaitan rapat dengan penerbitan siri filem The Expendables.

“Filem The Expendables 5 dijangka memulakan penggambaran tahun ini dengan bajet AS$100 juta (RM440 juta).

“Usaha itu akan digerakkan Blue River Films. Ini adalah antara perancangan kita untuk menggalakkan produksi asing melakukan penggambaran di Malaysia,” katanya kepada BH Online.

Pada 17 Jun lalu, Annuar dan delegasi FINAS diketuai Md Nasir membuat lawatan kerja empat hari ke Bangkok bagi meninjau peluang kerjasama dengan penerbit dan pengedar filem di negara gajah putih itu.

Lawatan kerja itu selaras usaha FINAS meningkatkan kerjasama dengan penggiat industri perfileman luar negara terutama dalam kalangan anggota ASEAN, bagi mengangkat industri senimatik tempatan ke tahap lebih tinggi.

Md Nasir berkata, banyak maklumat diperoleh pada lawatan kerja itu, termasuk falsafah di sebalik penubuhan GDH Studio yang banyak menghasilkan filem dan drama pelbagai genre, termasuk filem Bad Genius terbitan 2017 yang mencapai kejayaan besar di pasaran antarabangsa.

“Boleh dikatakan GDH Studio tiga kali lebih besar daripada Skop Production Sdn Bhd. Falsafah GDH Studio adalah mereka buat filem bukan untuk mencatat keuntungan, sebaliknya, memberi kepuasan kepada penonton.

“GDH Studio beri fokus kepada kualiti. Jadi, mereka menekankan soal pemilihan pengarah dan pelakon terkenal. Secara tidak langsung, ia menarik lebih ramai untuk menonton.

“Kemudahan studionya lengkap, daripada produksi sehingga pasca produksi. Semuanya ada,” katanya.

 

FINAS mengadakan pertemuan bersama tiga syarikat gergasi perfileman Thailand iaitu GDH Studio, Blue River Films dan M Pictures pada lawatan kerja diketuai Annuar ke Bangkok, Thailand, baru-baru ini. – Foto FINAS

 

Md Nasir berkata, FINAS berminat menjalin kerjasama dengan GDH Studio kerana selama ini, tidak pernah agensi kerajaan seperti FINAS di Malaysia, menghubungi syarikat terbabit untuk membincangkan potensi projek kolaborasi.

“GDH Studio juga terharu kerana sepanjang sedekad penubuhannya, ini kali pertama agensi dari Malaysia melawat dan menyatakan minat menjalin kerjasama,” katanya.

Md Nasir berkata, sepanjang lawatan itu, FINAS membentangkan Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) yang antara lain menawarkan rebat tunai 30 peratus kepada penerbit tempatan dan luar negara yang menjalani penggambaran di negara ini, kepada studio perfileman di Bangkok.

“Kami bertanya apa insentif diberi kerajaan Thailand kepada pembikin filem. Mereka beri 25 peratus.

“Tetapi di Malaysia, kita beri insentif sehingga 35 peratus, termasuk tambahan lima peratus bagi apa yang dikenali sebagai ‘cultural test’.

“Mendengarkan itu, ketiga-tiga studio perfileman iaitu GDH Studio, Blue River Films dan M Pictures teruja. Mereka menyatakan minat untuk memanfaatkan FIMI.

“Mereka dapat 35 peratus keuntungan yang boleh menampung perbelanjaan. Maknanya, kalau mereka buat filem di Malaysia dan membelanjakan RM5 juta, secara automatik, 35 peratus daripada jumlah itu sudah ada dalam tangan,” katanya.

FIMI yang diperkenalkan pada 2012, dibahagikan kepada dua kategori iaitu filem tempatan yang mana penerbit perlu menghasilkan karya pada bajet RM1 juta.

Bagi produksi asing, penerbit perlu menghasilkan filem pada bajet RM5 juta bagi memenuhi kelayakan menerima rebat. Selain itu, penerbit dikenakan syarat menggunakan 30 peratus tenaga kerja tempatan, tidak kira kru atau pelakon.

Md Nasir berkata, FIMI memberi impak besar kepada kemajuan industri perfileman di Malaysia terutama dalam aspek pertukaran ilmu, pengalaman dan teknologi dalam proses pembikinan filem.

“Banyak kelebihan diperoleh melalui FIMI, termasuk membawa nama negara ke pasaran antarabangsa selain dapat menembusi dan mempromosikan filem kita ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Lawatan kerja FINAS turut menyentuh soal kerjasama hak cipta milik negara untuk dipasarkan pada peringkat serantau.

Usaha itu selaras misi perdagangan dan pemasaran global bagi produk dan perkhidmatan perfileman di Malaysia.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat