Kerajaan caretaker Negeri Sembilan pecat enam kakitangan Balai Undang Luak Sungei Ujong

SEREMBAN – Kerajaan caretaker Negeri Sembilan didakwa menamatkan kontrak perkhidmatan enam kakitangan yang berkhidmat di Balai Undang Luak Sungei Ujong ketika krisis perlembagaan negeri masih belum reda.

Menurut maklumat yang diterima notis penamatan perkhidmatan bertarikh 8 Jun 2026 itu dikeluarkan hanya beberapa hari selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.

Berdasarkan notis berkenaan, penamatan kontrak dibuat dengan tempoh notis 30 hari dan perkhidmatan kakitangan terbabit akan berakhir pada 7 Julai 2026.

Penamatan itu dikatakan melibatkan enam kakitangan Balai Undang Luak Sungei Ujong.

Tindakan tersebut menimbulkan persoalan kerana dibuat ketika kerajaan negeri hanya berfungsi sebagai kerajaan caretaker selepas pembubaran DUN.

Lebih mencetuskan perhatian, keputusan itu berlaku ketika hubungan antara kerajaan negeri dan institusi Undang masih tegang susulan krisis perlembagaan yang tercetus sejak April lalu.

Beberapa pihak melihat tindakan pentadbiran Menteri Besar itu sebagai bersifat balas dendam terhadap institusi Undang Luak Sungei Ujong, khususnya selepas pertikaian terbuka berhubung kedudukan Undang Luak Sungei Ujong dan kemelut Dewan Keadilan dan Undang.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada penjelasan rasmi daripada kerajaan negeri mengenai asas sebenar penamatan kontrak enam kakitangan berkenaan.

Persoalan juga timbul sama ada kerajaan caretaker wajar membuat keputusan pentadbiran yang boleh memberi kesan terhadap kelancaran operasi institusi adat negeri.

SuaraTV sedang mendapatkan maklum balas daripada pihak berkaitan berhubung perkara tersebut.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat