Tsunami dijangka landa pantai Sabah hari ini – Arthur

KUALA LUMPUR – Ombak tsunami setinggi 0.4 meter dijangka melanda kawasan pantai di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu, hari ini, susulan gempa bumi kuat berukuran 7.9 pada skala richter yang berlaku di Mindanao, Filipina.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menjangkakan tsunami itu akan melanda kawasan terbabit sekitar pukul 10.30 pagi hingga 12 tengah hari ini.

Gempa bumi kuat pada kedalaman 50 kilometer itu turut dirasai di beberapa kawasan di Sabah iaitu Tawau dan Semporna.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, berdasarkan analisis MET Malaysia, tsunami setinggi 0.4 meter dijangka melanda kawasan pantai di daerah-daerah terbabit antara pukul 10.30 pagi hingga 12 tengah hari.

Katanya, siren nasihat tsunami telah dibunyikan di empat lokasi iaitu Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu sebagai langkah kesiapsiagaan dan amaran awal kepada penduduk di kawasan terlibat.

“Mengambil kira situasi semasa, saya ingin memberikan penekanan serius kepada seluruh masyarakat khususnya penduduk di kawasan pantai sekitar Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu agar kekal tenang dan jangan panik.

“Kerajaan melalui MET Malaysia dan agensi keselamatan sedang memantau situasi ini secara rapi dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan pada Isnin.

Beliau juga menggesa semua penduduk di kawasan terlibat untuk memberikan Kerjasama penuh dan mematuhi serta merta segala arahan evakuasi atau keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan bagi mengelakkan perkara tidak diingini.

Pada masa sama, katanya, orang rami diminta untuk elak daripada mendekati kawasan pantai dalam tempoh masa dinyatakan demi keselamatan diri dan keluarga.

“MET Malaysia akan terus memantau dengan teliti sebarang perkembangan berhubung aktiviti gempa susulan serta risiko tsunami dan akan menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa.

“Orang awam diingatkan agar tidak menyebarkan maklumat palsu yang boleh mencetuskan kegusaran awam,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat