Siasatan SPRM rungkai kebenaran

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Segala persoalan dan kekeliruan berhubung dana hasil kutipan royalti hak cipta lagu penggiat seni muzik bakal terbongkar apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) memulakan siasatan.

Warga seni muzik menyifatkan tindakan SPRM menyerbu empat pejabat badan pengurusan royalti artis bagi siasatan berhubung isu dana hasil kutipan royalti hak cipta lagu sebagai tindakan tepat.

Penulis lirik terkenal, Ad Samad yang sudah sekian lama memperjuangkan isu royalti dalam kalangan penggiat seni berkata, tindakan itu wajar dilakukan agar segala kekeliruan berkaitan badan pengurusan royalti diketahui.

“Saya mengalu-alukan tindakan SPRM membuat siasatan kerana ia dapat memberi pencerahan, mencari kebenaran dan meleraikan segala kekusutan dalam kalangan ahli berhubung pengurusan royalti. Terlalu banyak perkara negatif dikaitkan dengan empat badan kutipan royalti ini.

“Saya harap siasatan dibuat dengan telus dan tanpa prejudis. Tidak perlu takut jika badan mengurus kutipan royalti ini tak buat salah. Tetapi, jika terbukti ada penyelewengan berlaku seperti yang didakwa, bersiap sedia untuk menerima akibatnya,” katanya kepada BH Online.

Mengikut sumber, satu operasi dijalankan di empat pejabat dipercayai terbabit dalam proses kutipan royalti iaitu Hak Cipta Muzik (MACP) Berhad, Public Performance Malaysia (PPM) Sdn Bhd dan Recording Performers Malaysia (RPM) Berhad.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Freddie Fernandez, dilaporkan meminta campur tangan SPRM dalam pertikaian mengenai royalti sekitar RM30 juta yang belum dibayar kepada artis rakaman. Beliau kecewa dengan kemungkinan beberapa ‘tangan tersembunyi’ memanipulasi kutipan royalti untuk keuntungan mereka sendiri.

Mengulas dakwaan Freddie, Ad atau nama sebenarnya, Ahmad Shahadrian A Samad berkata, sebagai persatuan yang menjaga kebajikan artis, Karyawan sedia maklum dengan kemelut yang melanda badan kutipan royalti itu.

“Saya percaya pasti ada ahli membuat aduan mengenai isu pengagihan royalti yang tertangguh sejak sekian lama kepada Freddie. Mungkin fokus utama isu ini membabitkan ahli RPM dan Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (PRISM). Namun, secara peribadi, saya sendiri berdepan masalah dengan semua badan kutipan royalti ini.

“Melihat kemelut berlaku pada RPM, saya ingin memujuk presidennya, Datuk Sheila Majid supaya meletak jawatan. Saya tak yakin beliau mampu menjalankan tanggungjawab selepas melihat apa yang berlaku,” katanya.

 

Penyanyi, Datuk Hattan berpendapat lebih baik masalah diselesaikan menerusi meja rundingan, bimbang keadaan menjadi semakin rumit.
Penyanyi, Datuk Hattan berpendapat lebih baik masalah diselesaikan menerusi meja rundingan, bimbang keadaan menjadi semakin rumit.

 

Sementara itu, walaupun bersetuju dengan tindakan SPRM, namun penyanyi terkenal, Datuk Hattan berpendapat, lebih baik masalah diselesaikan menerusi meja rundingan.

“Masalah berkaitan royalti ini sudah berlaku ketika kewujudan badan pelesenan muzik tunggal, Music Rights Malaysia Berhad (MRM) lagi. Bagi saya, ini adalah masalah persatuan secara keseluruhan. Kenapa tak nak duduk semeja untuk menyelesaikan masalah ini.

“Apabila perkara ini sudah membabitkan pihak berkuasa seperti SPRM, saya bimbang isu akan berlanjutan dan keadaan semakin rumit. Bukan semakin jernih, tetapi bertambah keruh. Apa yang bagus, maklumat terperinci mengenai kutipan royalti sebelum ini akan didedahkan.

“Difahamkan, kutipan dibuat setiap tahun, tetapi duit itu diagihkan ke mana?,” soal penyanyi yang popular dengan lagu Memburu Rindu itu.

SPRM dilaporkan sudah memulakan siasatan terhadap dakwaan penyalahgunaan dana hasil kutipan royalti hak cipta lagu yang diterima oleh penggiat industri muzik di Malaysia.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan, pihaknya sudah memulakan siasatan berhubung isu berkenaan.

“Masih terlalu awal untuk memberi kenyataan berhubung siasatan bagi berlaku adil terhadap semua pihak.

“Semua pihak diminta tidak mensensasikan isu ini dan memberikan masa yang secukupnya kepada SPRM bagi dijalankan siasatan secara telus, adil dan profesional,” katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat