KUALA LUMPUR – Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz mendakwa tindakan empat Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Dato’ Shahbandar Sungai Ujong memfailkan saman terhadap Dewan Keadilan dan Undang (DKU) serta Kerajaan Negeri Sembilan bukan bertujuan mencabar keputusan Sidang Khas DKU pada 17 April lalu.
Sebaliknya, beliau berkata tindakan tersebut dibuat bagi mendapatkan salinan minit mesyuarat sidang khas berkenaan yang sehingga kini tidak dibekalkan kepada ahli-ahli DKU yang terlibat.
Menurut beliau, kandungan Saman Pemula yang difailkan menunjukkan plaintif hanya memohon deklarasi bahawa mereka sebagai ahli DKU berhak memperoleh salinan minit Mesyuarat Sidang Khas DKU yang diadakan di Istana Besar Seri Menanti pada 17 April 2026.
Selain itu, mereka turut memohon perintah mahkamah supaya defendan menyerahkan minit mesyuarat tersebut dalam tempoh tujuh hari serta menggantung sebarang penguatkuasaan keputusan mesyuarat berkenaan sehingga minit tersebut diserahkan kepada plaintif.
“Plaintif bukan nak mempersoalkan apa jua keputusan sidang khas DKU berkenaan.
“Sebab plaintif tahu apa-apa pertikaian mengenai minit berkenaan hanya boleh diselesaikan dalam mesyuarat DKU yang berikutnya,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Khairul Azam mendakwa Undang Yang Empat telah menulis sebanyak tiga kali kepada Setiausaha DKU bagi memohon salinan minit mesyuarat tersebut untuk dibekalkan kepada ahli-ahli dewan, namun kesemua permintaan itu tidak dilayan.
Menurutnya, tindakan mahkamah akhirnya diambil selepas kerajaan negeri mengeluarkan arahan pengosongan Balai Undang Sungai Ujong, menyebabkan plaintif tidak mempunyai pilihan lain untuk mendapatkan dokumen berkenaan.
“Disebabkan itulah plaintif tiada pilihan lain melainkan memfailkan tindakan mahkamah kerana arahan pengosongan Balai Undang Sungai Ujong telah dikeluarkan oleh kerajaan negeri.
“Jadi hal ini tak boleh disabar lagi. Kena bawa ke mahkamah untuk meminta minit mesyuarat itu sahaja dulu,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa permohonan mendapatkan minit mesyuarat bukanlah pertikaian adat, sebaliknya isu pentadbiran yang boleh diputuskan oleh mahkamah.
Katanya, sebarang pertikaian terhadap keputusan Sidang Khas DKU hanya boleh dibincangkan dan diputuskan melalui mekanisme adat dalam mesyuarat DKU yang seterusnya.
“Jadi minit mesyuarat bukan hal adat. Jadi permohonan melalui mahkamah telah dibuat.
“Mempertikaikan keputusan mesyuarat adalah hal adat. Ini belum dibuat sebab mesyuarat DKU belum dipanggil,” katanya.
Kenyataan itu dilihat memberi gambaran berbeza terhadap tindakan saman yang difailkan, apabila fokus utama plaintif adalah mendapatkan akses kepada minit mesyuarat Sidang Khas DKU, dan bukannya mencabar secara langsung keputusan yang dibuat dalam sidang tersebut.


