Khadijah terima royalti ratusan ringgit

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penyanyi evergreen, Datuk Khadijah Ibrahim mendedahkan tidak memperoleh sebarang kutipan royalti sejak Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (PRISM) dibubarkan.

“Saya tak menerima kutipan royalti, biarpun lagu nyanyian saya sentiasa diputarkan di corong radio, setiap hari.

“Ketika PRISM masih beroperasi dapat juga merasa bahagian saya, tetapi itu pun tidak banyak. Saya kesal dengan bayaran royalti diterima selepas Akta Hak Cipta dipinda.

“Saya hanya dapat royalti sebanyak ratusan ringgit sahaja sejak 20 tahun lalu. Saya kecewa dengan syarikat rakaman yang tidak mengambil tindakan menentukan hak mendapat royalti seseorang penyanyi apabila lagu ke udara,” katanya kepada BH Online.

Tidak mahu masalah royalti terus berlanjutan, Khadijah berharap, ia dapat diselesaikan dengan baik tanpa pertelingkahan dengan mana-mana pihak.

Selain itu, Khadijah turut menyokong dengan penubuhan satu badan kutipan sahaja bagi mengelakkan kekeliruan.

“Saya rasa kekeliruan berpunca daripada kewujudan dua badan yang mewakili artis, di mana kedua-duanya, RPM dan PRISM tidak diuruskan dengan baik kerana kelemahan dalam pengurusan dan Ahli Lembaga Pengarah.

“Sudah tiba masanya hanya satu badan diwujudkan untuk memperjuangkan hak royalti artis. Saya berharap kerajaan tidak akan membenarkan orang yang tamak dan mahu memusnahkan satu sistem baik yang sudah dibuktikan, sebelum ini,” katanya.

 

Penyanyi evergreen, Datuk Khadijah Ibrahim kecewa dengan syarikat rakaman yang tidak mengambil tindakan menentukan hak mendapat royalti seseorang penyanyi apabila lagu ke udara. - Foto NSTP
Penyanyi evergreen, Datuk Khadijah Ibrahim kecewa dengan syarikat rakaman yang tidak mengambil tindakan menentukan hak mendapat royalti seseorang penyanyi apabila lagu ke udara. – Foto NSTP

 

Katanya, dia menyokong usaha Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) menyelesaikan masalah royalti artis.

“Presidennya, Datuk Freddie Fernandez yang juga Pengerusi Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP) Berhad yang pertama tahu banyak mengenai isu hak cipta dan royalti.

“Freddie mengikuti perkembangan isu royalti dari awal lagi. Beliau sudah cuba menuntut keadilan bagi pihak artis dan pemuzik yang mana lagu mereka dipersembahkan di tempat awam selama lebih 20 tahun,” katanya.

Sehubungan itu, Khadijah berharap, masalah royalti dapat diselesaikan dengan segera supaya artis boleh mendapatkan hak masing-masing.

SPRM dilaporkan sudah memulakan siasatan terhadap dakwaan penyalahgunaan dana hasil kutipan royalti hak cipta lagu yang diterima oleh penggiat industri muzik di Malaysia.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan, pihaknya sudah memulakan siasatan berhubung isu berkenaan.

“Masih terlalu awal untuk memberi kenyataan berhubung siasatan bagi berlaku adil terhadap semua pihak.

“Semua pihak diminta tidak mensensasikan isu ini dan memberikan masa yang secukupnya kepada SPRM bagi dijalankan siasatan secara telus, adil dan profesional,” katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat