COVID-19 serlah semangat perpaduan dan keprihatinan rakyat Malaysia – Saifuddin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Meskipun pandemik COVID-19 memberi kesan besar kepada negara terutamanya dari segi ekonomi,  masih ada sudut positifnya iaitu mengukuhkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata rakyat membuktikan bahawa mereka adalah masyarakat prihatin dan turut  bersama-sama dengan kerajaan menghulur bantuan terutamanya ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

Jelasnya hikmah COVID-19 telah menonjolkan kebaikan rakyat, secara individu atau berkumpulan, yang bertepatan dengan tema ‘Malaysia Prihatin’ bagi sambutan Hari Kebangsaan kali ini.

“Saya setuju COVID-19 ini menyerlahkan budi baik orang Malaysia. Sebenarnya ‘Malaysia Prihatin’ melambangkan nilai-nilai murni yang ditunjuk oleh rakyat di negara ini.

“Mengambil contoh (keprihatinan) pereka fesyen yang bekerjasama dengan sekumpulan 20 anak muda menjahit set peralatan perlindungan diri (PPE) untuk diserahkan kepada Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada peringkat awal negara berdepan COVID-19,” katanya ketika ditemu bual dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam ini.

Saifuddin turut memuji tindakan beberapa badan bukan kerajaan yang menghantar makanan termasuk keprihatinan individu terhadap jiran tetangga sepanjang situasi COVID-19.

Menyentuh mengenai sambutan Bulan Kemerdekaan kali ini yang berbeza daripada tahun sebelumnya, Saifuddin berkata rakyat Malaysia mempunyai jiwa merdeka yang tinggi dan penghayatan begitu baik untuk mengekspresikan semangat patriotik dengan cara tersendiri.

Walaupun tiada sambutan besar-besaran, beliau menyeru dan memohon supaya rakyat Malaysia melakukan aktiviti yang boleh menterjemahkan semangat kemerdekaan dan dikongsi dalam media sosial.

Semarakkan sambutan Hari Kebangsaan kali ini dengan kreativiti masing-masing menerusi media sosial, seperti merekodkan nyanyian lagu Negaraku bersama keluarga, katanya.

Saifuddin berkata  Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menyampaikan perutusan pada malam 30 Ogos ini.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan berangkat ke Dataran Pahlawan di Putrajaya bagi upacara menerima tabik hormat daripada pasukan kawalan keselamatan utama dan seterusnya menyampaikan titah diraja yang akan disiarkan secara langsung.

“Kebiasaannya tiada titah diraja pada Hari Kebangsaan tetapi kerana 50 tahun lalu Yang di-Pertuan Agong pada masa itu mengisytiharkan Rukun Negara pada 31 Ogos, maka kita ambil sempena ulang tahun 50 tahun itu untuk ucapan titah baginda,” katanya.

-BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat