Calon BN Dilihat Pasti Menang – Penganalisis

- Advertisement -

TANJUNG MALIM: Berbaki hanya tiga hari sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim,  pemerhati politik menjangkakan calon Barisan Nasional (BN) dapat menang dengan selesa.

Menurut mereka berdasarkan trend pengundian lepas dan sambutan semasa kempen, BN dengan mudah dapat meraih sekurang-kurangnya 12,000 undi daripada  23,094 pemilih berdaftar di kawasan yang merupakan kubu kuat UMNO itu.

Perkiraan ini bersandarkan keputusan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara BN, PAS dan Bersatu merebut undi di kawasan majoriti Melayu itu. Tiga parti berkenaan kini menjadi sekutu dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Pada PRU 2018, Allahyarham Datuk Mohd Khushairi Abdul Talib daripada BN mempertahankan kerusi DUN itu dengan majoriti  2,183 undi selepas meraih 8,327 undi, mengatasi Mohd Amran Ibrahim daripada Bersatu yang bertanding atas tiket  PKR menerima 6,144 undi dan Muhammad Zulfadli Zainal daripada PAS memperoleh 4,103 undi.

Bercakap kepada Bernama di sini, Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti di Pusat Pengajian Kerajaan Universiti Utara Malaysia  Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata penyokong tegar UMNO dan PAS, dibantu oleh penyokong Bersatu pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muyiddin Yassin, akan memastikan kemenangan BN.

“Kawasan tersebut merupakan kawasan pengundi majoriti Melayu termasuk peneroka Felda. Pola pengundian, kita dapati pada empat PRU lalu, PAS mempunyai pengundi tegar, sebab itu calon mereka sentiasa dapat undi lebih kurang 4,000 undi.

“UMNO pula berdasarkan prestasi, 8,000 lebih undi diperoleh. Ini menunjukkan bahawa pola pengundian berdasarkan penyokong tegar, UMNO dan PAS boleh mencapai 12,000 undi,” katanya.

Keyakinan penganalisis politik itu turut bersandarkan kepada gesaan pemimpin BN, PAS dan Bersatu dalam ceramah mereka agar penyokong parti masing-masing mengundi calon BN selain menegaskan kerjasama mereka ialah untuk menyelamatkan Malaysia daripada kerosakan yang dilakukan Pakatan Harapan (PH).

PRK Slim pada 29 Ogos ini akan menyaksikan satu lagi pertandingan tiga penjuru melibatkan calon BN  Mohd Zaidi Aziz, 43, dan dua calon Bebas – S. Santhasekaran, 44, dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38 yang turut mewakili Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) yang baru ditubuhkan dan kini dalam proses pendaftaran.

Mengenai peluang dua calon Bebas berkenaan untuk menang,  Ahmad Martadha berkata beliau tidak fikir kedua-duanya mampu meraih sokongan untuk mengatasi calon BN.

“Walaupun kita dapati calon Bebas daripada Pejuang (Amir Khusyairi) mempunyai sokongan figura seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, bagi saya sokongan itu tidak akan memberi impak besar kepada pengundi-pengundi di kawasan Slim. Santhasekaran lebih sukar untuk mendapatkan undi kerana beliau tiada platform yang jelas,” katanya.

Pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia Prof Dr Sivamurugan Pandian pula berkata barisan pemimpin tertinggi BN berkempen seolah-olah  PRK Slim itu adalah PRU bagi memastikan kubu kuat mereka dapat dipertahankan.

Ini berbeza dengan pemimpin PH yang dikekang daripada membantu kempen Amir Khusyairi, katanya.

“Lazimnya PH akan turunkan pemimpin seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Mohamad Sabu yang akan digandingkan di atas pentas. Apakah kerjasama itu wujud, berbanding BN hampir semua pemimpin besar hadir,” katanya.

Dilaporkan PH memberi laluan kepada Dr Mahathir untuk meletakkan calonnya bertanding pada PRK itu bagi mengelakkan perpecahan undi pembangkang.

Sivamurugan berkata kemenangan BN pada PRK itu boleh dilihat sebagai isyarat rakyat menerima parti-parti dalam kerajaan PN sebagai sebuah pasukan yang pastinya akan merangsang kerjasama mereka pada Pilihan Raya  Negeri Sabah bulan depan.

-BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat