Malaysia Masuk Fasa Pemulihan, Bukan Bermakna Jangkitan Covid-19 Dah Berakhir – KKM

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Malaysia kini sudah memasuki fasa pemulihan, hasil pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa ketiga.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia berikutan lengok pada graf jangkitan COVID-19 sudah dapat diratakan.

Bagaimanapun, beliau berkata, biarpun data yang diterima Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan kadar positif COVID-19 berada pada dua angka sejak seminggu lalu, ia bukan bermakna episod jangkitan wabak penyakit itu sudah berakhir.

“Pelaksanaan PKP adalah untuk meratakan lengkok dan kita sudah lihat ia berjaya dilakukan dan kita kini berada pada fasa pemulihan.

“Namun, ia bukan bermakna pengakhiran kepada penularan wabak COVID-19. Kita menjangkakan COVID-19 akan terus menjangkiti, namun kita perlu membendung dan mengawal jangkitan COVID-19.

“Selagi ia boleh kita bendung mengikut masa ke semasa dan lokasi,” katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, usaha untuk meratakan lengkok jangkitan COVID-19 adalah untuk membolehkan fasiliti kesihatan seperti hospital dan pelan tindakan kesihatan awam dapat laksanakan, termasuk membabitkan guna tenaga.

Katanya, ketika ini juga, pihaknya melihat kapasiti penggunaan kemudahan kesihatan seperti Unit Rawatan Rapi (ICU) pada paras 30 peratus, dengan bilangan pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan berkurangan.

Beliau berkata, ia bermakna keupayaan KKM sudah dipertingkatkan dan ia berupaya menangani penularan COVID-19.

Katanya, selain pelaksanaan PKP, tiga lagi pelan tindakan membabitkan kerajaan dan orang ramai yang dikemukakan KKM sebelum ini perlu diteruskan bagi mengawal jangkitan COVID-19.

Tiga lagi tindakan berkenaan ialah kawalan sempadan yang berada bawah tanggungjawab kerajaan, manakala orang ramai pula perlu menjaga penjarakan sosial dan amalan kebersihan diri.

“Kawalan sempadan masih perlu diteruskan bagi mengelak berlaku kes import dalam kalangan pelancong yang berkunjung ke Malaysia. Ini kerana terdapat lebih 180 negara yang mengalami jangkitan COVID-19.

“Kita berjaya menghentikan kes import dalam kalangan pelancong yang datang ke negara ini selepas sempadan ditutup, kecuali kes membabitkan rakyat kita yang pulang dari luar negara yang kita perlu kuarantin selama 14 hari. Itu pun, kita mendapati seramai 144 daripada mereka positif COVID-19.

“Paling utama terletak kepada orang ramai untuk terus kekal di rumah dan menjalankan penjarakan sosial selain menjaga kebersihan diri masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, jangkitan COVID-19 dijangka belum dapat dihentikan kerana vaksin untuk merawat wabak itu belum ditemui setakat ini.

“Apa yang kita lihat sejak seminggu ini, kes positif pada paras dua angka, walaupun kita melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokasi seperti di Pasar Borong Kuala Lumpur, jumlah jangkitan baharu masih lagi pada dua angka.

“Saya berpendapat, ia yang perlu dilihat semula bagaimana untuk mempertingkatkan perkara ini dalam mengawal jangkitan COVID-19 dan menghentikan rantaian dalam komuniti.

“Ada banyak kajian sedang dijalankan untuk mencari vaksin dan ia berkemungkinan hanya akan ditemui dalam tempoh setahun atau dua tahun lagi dan paling penting adalah kita perlu hentikan rantaian jangkitan ini dalam komuniti,” katanya

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat