Dari TikTok Ke Studio Rakaman, Nana Tony pertaruh kiwa dalam “Sengketa Asmara Luka”

KUALA LUMPUR – Dunia media sosial sering menjadi platform untuk seseorang mencipta nama, namun bagi Nana Tony, ia hanyalah permulaan kepada perjalanan yang lebih besar. Selepas dikenali ramai menerusi kandungan hiburan, kecantikan dan solekan di TikTok, Nana kini melangkah setapak lagi dengan memperkenalkan single sulungnya berjudul Sengketa Asmara Luka.

Bukan sekadar mencuba nasib dalam bidang nyanyian, Nana memilih untuk tampil dengan sebuah karya yang sarat emosi dan dekat dengan realiti kehidupan ramai. Lagu ciptaan Dearlynnns itu mengangkat kisah kekecewaan dalam percintaan, khususnya apabila kepercayaan yang dibina akhirnya musnah akibat pengkhianatan.

Menurut Nana, pengalaman menyampaikan lagu tersebut memberikan satu cabaran yang berbeza kerana setiap bait lirik menuntut penghayatan yang mendalam.

“Lagu ini membawa emosi yang sangat kuat. Saya cuba menyampaikan setiap perasaan kecewa dan sedih itu sejujur mungkin supaya pendengar dapat merasainya,” katanya.

Apa yang menarik, Sengketa Asmara Luka bukan sekadar berkisar tentang putus cinta biasa. Ia turut menyentuh isu yang semakin kerap diperkatakan dalam masyarakat hari ini iaitu campur tangan pihak ketiga atau lebih dikenali dengan istilah ‘sondol’, yang sering menjadi punca keretakan hubungan.

Pemilihan tema tersebut dilihat cukup relevan kerana ramai pendengar boleh mengaitkan kisah dalam lagu ini dengan pengalaman atau situasi yang berlaku di sekeliling mereka. Justeru, mesej yang dibawa bukan sahaja bersifat hiburan, malah mengajak masyarakat untuk lebih menghargai kesetiaan dan kejujuran dalam sesebuah hubungan.

Walaupun ini merupakan single solo pertamanya, Nana bukanlah nama asing dalam dunia muzik. Sebelum ini beliau pernah terlibat dalam lagu raya Meriah Hari Raya bersama beberapa penyanyi muda seperti Azzam Sham, Sheryl Shazwanie, Kasih Lia dan Ikmal Dani.

Kini, menerusi Sengketa Asmara Luka, Nana mahu memperkenalkan identiti sebenar dirinya sebagai seorang penyanyi yang serius dalam bidang seni. Langkah ini juga membuktikan bahawa bakat yang dimiliki tidak hanya terhad kepada penciptaan kandungan digital semata-mata.

Bagi melengkapkan penceritaan lagu tersebut, muzik video rasmi akan dilancarkan pada 5 Jun 2026, jam 5.30 petang. Peminat boleh menyaksikannya menerusi saluran YouTube Luncai Emas Sdn Bhd dan Myoozikwav Entertainment.

Single Sengketa Asmara Luka pula boleh didengari di semua platform penstriman digital bermula 5 Jun 2026. Dengan gabungan melodi balada moden dan lirik yang menyentuh emosi, karya sulung ini berpotensi menjadi titik permulaan yang menarik buat Nana Tony dalam mengukuhkan namanya dalam industri muzik tempatan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat